Nahas Elmina: Data rakaman kokpit berjaya diperolehi, laporan awal 2 minggu lagi

Rakaman suara itu akan dianalisis dan digunakan sebagai bahan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas

2:25 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Data ‘memory puck’ daripada kotak perakam suara kokpit (CVR) pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Bandar Elmina pada 17 Ogos berjaya diekstrak pakar di Amerika Syarikat (AS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, data rakaman itu kini sedang dianalisa dan laporan siasatan akan siap dalam tempoh 30 hari dari tarikh nahas iaitu dua minggu lagi.

“Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) tidak boleh meninggalkan AS kerana ada ribut taufan ketika ini. Jadi rakaman itu sudah dihantar ke Kuala Lumpur melalui e-mel,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Beliau menambah laporan penuh itu mungkin mengambil masa selama setahun untuk disiapkan.

Loke berkata, rakaman suara itu akan dianalisis dan digunakan sebagai bahan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan maklumat lain yang dikumpul pasukan itu.

“Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan awal. Biarkan pakar membuat analisis terperinci data dan kami akan memasukkannya ke dalam laporan awal.

“Kemudahan kami di Malaysia tidak berjaya mendapatkan semula data kerana kokpit rosak teruk. Ia pada mulanya dihantar ke makmal Singapura dengan harapan BSKU boleh mendapatkannya.

“Jadi kami tiada pilihan selain menghantarnya semula kepada pengilang OEM kerana mereka mempunyai kemudahan untuk mendapatkan semula data itu,” katanya.

Minggu lalu, Ketua BSKU terbang ke Florida untuk menyerahkan komponen ‘memory puck’ kepada pengeluar peralatan asal pesawat itu.

Pada Selasa lalu, Loke berkata, terdapat isu teknikal dan sekatan tertentu yang menghalang TSIB daripada mendapatkan semula data, mendorong keputusan untuk menghantar peranti itu ke Florida.

Nahas pada 17 Ogos lalu mengakibatkan 10 individu maut termasuk dua anak kapal, enam penumpang, seorang penunggang motosikal dan juga seorang pemandu kereta.

Penerbangan itu terhempas dua minit sebelum dijangka mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kemudiannya berkata bahawa pesawat itu tidak membuat sebarang panggilan kecemasan sebelum kemalangan itu. – 29 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related