KUALA LUMPUR – Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan akaun Telegram rasminya digodam individu yang menyamar sebagai dirinya sejak beberapa hari lepas.
Wan Junaidi dalam satu kenyataan hari ini mengingatkan orang ramai tidak terpedaya dengan panggilan atau mesej mengakui dirinya untuk berurusan berkaitan kewangan dan janji temu.
“Mereka yang menerima mesej atau panggilan berkenaan diminta menghubungi pejabatnya di talian 03-2601 7610 untuk pengesahan lanjut.
“Saya kesal dengan tindakan penggodam yang tidak bertanggungjawab ini dan berharap masyarakat tidak mudah terpedaya dengan penipuan sebegini,” katanya.
Beliau yang juga bekas menteri undang-undang telah melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai perkara itu.
“Saya menasihatkan orang ramai agar lebih peka dengan sindiket penipuan melalui pelbagai aplikasi media sosial dan turut melaporkan tindakan penggodam kepada pihak berkuasa,” katanya. – 6 September, 2023.