KUALA LUMPUR – Peningkatan kadar Paras Harga Pengaktifan (PHP) bagi Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dilaksanakan kerajaan sebagai strategi bagi membantu pekebun kecil dalam menggalakkan pendapatan mereka.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peningkatan daripada RM2.50 kepada RM2.70 satu kilogram (kg) bagi getah beku itu sehingga kini, sudah dinikmati 217,705 pekebun kecil membabitkan bayaran berjumlah RM474.54 juta, sehingga bulan lalu.
Menurutnya, kerajaan melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut melaksanakan Projek TARGET melalui Konsep Koperasi Pekebun dan Pengusaha Ladang Getah Tempatan demi manfaat golongan berkenaan,
“Pelaksanaan ini bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah dengan kaedah memendekkan rantaian bekalan dan pembabitan pekebun dalam rantaian industri getah (integrasi menegak).
“Ia dijangka dapat menambah nilai getah, memberi pulangan dan pendapatan lebih baik kepada pekebun kecil getah.
“Sebanyak enam pengusaha dan koperasi juga sudah diluluskan, selain peserta program TARGET melepasi fasa inkubator Ogos lalu,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, hari ini.
Menteri Perladangan dan Komoditi itu berkata, kerajaan turut memberi insentif tunai sebanyak RM1 per kg bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK) untuk menggalakkan penyertaan dalam Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL).
“Peserta menerima bantuan dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun bernilai RM850 bagi setiap hektar secara ‘one off’.
“Koperasi atau peniaga getah berlesen LGM yang menyertai IPL pula, akan menerima manfaat bantuan pembinaan baharu atau tambah baik pusat pengumpulan lateks (PMG),” katanya.
Beliau turut memaklumkan, pelaksanaan IPL dapat membangunkan model perniagaan bekalan lateks lebih cekap.
Menjawab isu penurunan eksport sawit, Fadillah berkata, harga buah tandan segar sawit (BTS) ditentukan pergerakan harga pasaran minyak sawit mentah (MSM) yang sentiasa berubah, berdasarkan faktor asas dan sentimen pasaran semasa.
“Harga MSM mula menunjukkan trend peningkatan ketara bermula pertengahan 2020 dan beberapa kali memecahkan rekod harga tertinggi dalam sejarah industri sawit negara pada Januari 2021 hingga Mei 2022.
“Nilai eksport dipengaruhi harga MSM dunia dengan harga purata MSM adalah RM5,087.50 pada 2022, yang mana melonjakkan nilai eksport negara dengan sangat ketara, berbanding tahun sebelumnya.
“Namun, harga purata MSM antara Januari hingga Ogos lalu, kembali stabil dengan nilai RM3,884,” katanya.
Sementara itu, Fadillah berkata, buat masa ini tiada geran penanaman semula akan diberikan kerajaan kepada pekebun kecil sawit.
“Walaupun tiada geran tanam semula sawit diberikan buat masa ini, terdapat Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) untuk kemudahan kepada semua pekebun kecil sawit terbabit.
“Skim ini adalah skim pembiayaan atau pinjaman mudah yang ditawarkan kerajaan melalui Agrobank kepada pekebun kecil sawit untuk meringankan beban kewangan semasa melaksanakan penanaman semula sawit,” katanya. – 18 September, 2023