‘Benar, rakyat Malaysia ketagih makan di luar, tetapi mereka terpaksa kerana…’

Justeru pakar berpendapat, bagi mengatasi tabiat itu, majikan perlu pastikan pekerja mempunyai keseimbangan kehidupan bekerja, selain rakyat bijak merancang perbelanjaan kos makanan bulanan

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – ‘Ketagihan’ makan di luar dalam kalangan rakyat negara ini sehingga didakwa menjadi penyebab masalah kewangan mereka, berpunca daripada beberapa faktor tidak boleh dielakkan, termasuk kekangan masa untuk memasak atau menyediakan makanan di rumah.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, gaji rendah diterima menyebabkan mereka terpaksa bekerja lebih masa atau over time (OT) untuk mendapatkan wang tambahan.

Manakala, katanya, ada pula dalam kalangan mereka melakukan pekerjaan lebih pada satu masa, bagi memperoleh pendapatan ekstra untuk menampung kos sara hidup.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Madya Ahmed Razman Abdul Latiff. – Gambar Facebook, 19 September, 2023

“Apa disentuh Rafizi itu adalah sebahagian sahaja, isu pokok sebenarnya lebih mendalam. Memang (rakyat) sekarang selalu makan di luar tapi itu disebabkan mereka terpaksa dan tiada pilihan.

“Satu daripada faktor ialah gaji rendah. Gaji purata atau median sekarang adalah RM2,500 walaupun kos sara diri meningkat, jadi bila gaji rendah ia menuntut rakyat untuk kerja lebih masa atau buat dua, tiga kerja dalam satu masa.

“Atas faktor itu, budaya makan di luar menjadi pilihan mereka disebabkan tiada masa untuk memasak,” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata, bagi membendung atau mengurangkan tabiat itu, majikan seharusnya menawarkan gaji lebih ‘berbaloi’ agar pekerja memiliki lebih masa untuk diluangkan di rumah dan mempunyai kesempatan memasak di rumah, sekali gus boleh mengurangkan perbelanjaan untuk makan di luar.

“Majikan seharusnya memastikan pekerja mereka mempunyai work life balance (keseimbangan kehidupan bekerja).

“Bekerja dari rumah (WFH) juga sudah terbukti boleh kurangkan perbelanjaan pekerja daripada segi petrol, tol dan parkir, sewajarnya majikan boleh pertimbangkan juga kaedah sistem kerja ini,” katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai berpendapat, tabiat makan luar sememangnya menyumbang kepada kemerosotan pendapatan boleh belanja rakyat.

Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Barjoyai Bardai. – Gambar Facebook, 19 September, 2023

“Bila makan di luar, mereka (rakyat) bayar kos untung untuk peniaga, berbanding apabila masak di rumah, sudah tentu mereka boleh berjimat.

“Makan di luar memang satu keseronokan… kalau boleh kita atur perbelanjaan dengan baik supaya tidak membebankan kos sara hidup,” katanya.

Sehubungan itu, Barjoyai menyarankan rakyat supaya bijak merancang perbelanjaan kos makanan bulanan secara terperinci bagi mengelakkan mereka terbeban.

“Jika pendapatan kita kecil, boleh kurangkan perbelanjaan, lebihkan masak di rumah berbanding makan di luar. Jika bujang, purata perbelanjaan makanan daripada kajian dilakukan ialah RM800 sebulan, manakala bagi mereka yang berkeluarga adalah RM1,200 sebulan, justeru perlu pandai rancang perbelanjaan bulanan.

“Bagi individu bujang, kalau RM800 bahagi 30 hari, lebih kurang RM26 sehari untuk belanja makan. Katakan makan tengah hari dia beli Menu Rahmah, bakinya nanti boleh digunakan untuk makan malam,” katanya.

Terdahulu, Rafizi menerusi kenyataannya dilaporkan berkata, tabiat ketagih makan di luar menyebabkan rakyat Malaysia berdepan masalah kewangan, susulan pendapatan boleh belanja mereka menyusut.

Malah, beliau menyalahkan ‘dasar lampau’ apabila beralih daripada pertanian dan pengangkutan awam yang lemah kerana situasi itu didakwa memaksa isi rumah di negara ini untuk terus hidup dengan membeli makanan di luar, daripada memasak sendiri. – 19 September, 2023

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

[UPDATED] Moral responsibility: ministers with multiple pensions should choose only one, says Anwar

Government politicians receiving multiple pensions have a moral responsibility to only opt for one pension scheme, said Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Related