Ribuan penduduk sanggup beratur beli beras 5kg harga RM1

Program Misi Jual Beras RM1 yang bermula 9.30 pagi itu, hanya mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja untuk terjual sepenuhnya

2:42 PM MYT

 

LUMUT – Ribuan penduduk di sini sanggup beratur panjang untuk membeli beras putih import yang dijual dengan harga RM1 sekampit seberat 5 kilogram, yang diadakan di Padang Kampung Datuk Seri Kamaruddin di sini hari ini. 

Program Misi Jual Beras RM1 yang bermula 9.30 pagi itu, hanya mengambil masa kira-kira setengah jam sahaja untuk terjual sepenuhnya.

Bagi suri rumah, Siti Nordiana Kassim, 25, dari Taman Samudera di sini, berkata beliau sanggup beratur seawal pukul 6 pagi untuk membeli beras itu yang dimaklumkan pengenai penjualan beras tersebut daripada jirannya.

“Ini memang peluang (membeli beras RM1) yang tidak pernah saya dapat. Saya bersama jiran datang ke sini awal pagi sebab tidak mahu terlepas untuk membelinya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Seorang warga emas, Halijah Kassim, 65, dari Kampung Datuk Seri Kamaruddin di sini juga tidak mahu melepaskan peluang untuk mendapatkan beras tersebut dan mula beratur di situ sejak 7 pagi tadi.

“Pada mulanya ingatkan program ini scam sahaja sebab tak pernah mana-mana pihak jual beras hanya RM1. Namun, apabila ketua kampung menguar-uarkan dalam kumpulan WhatsApp, baru mak cik percaya.

“Program (beli beras RM1) ini patut diadakan lebih kerap kerana sekarang harga beras pun naik mendadak, jadi dapat jugalah mengurangkan perbelanjaan dapur,” katanya.

Suraya Ibrahim, 42, dari Ayer Tawar dekat sini berkata pembelian beras RM1 benar-benar memberi kelegaan kepada dirinya yang membelanjakan kira-kira RM50 untuk pembelian beras sahaja bagi keperluan keluarganya.

“Walaupun hanya dapat beli sekampit beras sahaja dapat juga meringankan beban perbelanjaan bulanan keluarga yang ditanggung sepenuhnya oleh suami,” kata ibu kepada dua orang anak itu.

Program anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Misi Rakyat menyediakan sebanyak 1,000 kampit beras lima kilogram dan turut menyumbangkan 120 kampit beras seberat lima kg kepada golongan asnaf, warga emas dan ibu hamil yang terpilih.

Sementara itu, pengasas Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi berkata program penjualan beras putih import jenama SITI itu pertama kali dilaksanakan pihaknya dan Program Misi Jual Beras RM1 itu akan dijayakan di Kedah pada Selasa ini.

“Kami melaksanakan program sebegini kerana mahu membantu golongan kurang berkemampuan membeli beras memandangkan makanan ruji itu meningkat harga begitu mendadak ketika ini.

“Kami juga berharap program ini dapat dilaksanakan di seluruh negara sekiranya ada pihak yang sudi menyumbangkan bagi pembelian beras ini,” katanya. – 24 September, 2023

Topics

 

Hangat

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Reformasi! PM, unity govt partners visit Selangor on nomination day

The three state seats under the Gombak parliamentary constituency are shaping up to be the hottest in Selangor as some of the biggest names turned up this morning for nomination day.

MAHB posts over 11 mil in total passenger movements for Feb 2024

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) showed an unusually strong growth momentum with a record of 11 million passenger movements in February 2024 despite the shorter month.

Related