Keselamatan Petronas dan pelaburan lebih terjamin punca Malaysia buka semula Kedutaan di Iraq

Pembukaan semula pejabat kedutaan Malaysia di Baghdad bukan hanya kerana Petronas, namun lebih penting untuk meningkatkan perhubungan diplomatik antara kedua-dua negara

2:27 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Perpaduan membuka semula Kedutaan Besar di Baghdad adalah bagi meningkatkan hubungan diplomatik demi mengukuhkan perkongsian strategik antara kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pembukaan semula kedutaan berkenaan juga dapat merealisasikan usaha negara untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi, seterusnya melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih baik.

“Selain kepentingan besar kita iaitu Petronas di Baghdad ketika ini (mencecah) jumlah pelaburan sehingga berbillion ringgit, suka dinyatakan antara justifikasi membuka semula pejabat kedutaan di situ bukan hanya kerana Petronas semata-mata, namun lebih penting untuk meningkatkan perhubungan diplomatik antara Malaysia dan Iraq.

“Semasa pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan rakan sejawatnya dari Iraq, Mohammed Shia’ Al Sudani pada 21 September lalu di Perhimpunan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), perkara itu telah dimaklumkan dan ia telah disambut baik oleh kepimpinan Iraq,” katanya ketika mengulung usul kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi kementeriannya di Persidangan Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan yang diajukan Senator Datuk Azhar Ahmad yang bertanyakan kerelevanan Kerajaan Perpaduan membuka semula Kedutaan Besar Malaysia di Baghdad.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, pembukaan semula kedutaan berkenaan juga dapat merealisasikan usaha negara untuk menarik lebih banyak pelaburan berimpak tinggi. – Gambar Jabatan Penerangan, 26 September, 2023

Lebih membanggakan, Alamin berkata, Iraq membuktikan keterujaannya dengan memberi jaminan akan menghulurkan segala bantuan dan sokongan kepada Malaysia untuk merealisasikan semula inisiatif tersebut.

Tegas, kementerian ketika ini sedang meneliti tindakan yang perlu diambil bagi memastikan pembukaan semula Kedutaan Besar di Baghad dapat direalisasikan.

“Kesediaan itu dilihat merupakan satu kesungguhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri untuk mempergiatkan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Terdapat beberapa proses harus dilaksanakan satu persatu.

“Ia berkait rapat dan perlu mematuhi Vienna Convention on Diplomatic Relations 1961 dan Vienna Convention on Consular Relations, 1963. Ada beberapa dinyatakan perlu diikuti dan dipenuhi. Sebagai contoh, kena nyatakan niat kita dan sampaikan kepada negara yang mahu kita hendak buka semula pejabat kedutaan. Semua perkara itu masih dalam proses di peringkat akhir, kita harap agar ia dapat dipermudahkan,” katanya.

Selain Baghdad, Alamin memaklumkan Kementerian Luar dijangka membuka semula kedutaan di beberapa negara yang sebelum ini terpaksa ditutup sementara ekoran konflik ketegangan politik dalaman.

“Ada tujuh kedutaan besar telah kita tutup sementara selain Baghdad, iaitu Addis Ababa, Ethiopia pada 1983; Baghdad (2003); Damsyik (2012); Libya (2014); Yamen (2015); Ukraine (2022) dan terakhir Sudan pada tahun ini.

“Kebanyakan kedutaan besar ditutup kerana berlakunya ketidakstabilan politik di negara itu namun nanti kita akan kaji dari semasa ke semasa untuk membuka semula dengan memastikan semua perkara stabil selain keselamatan dalam keadaan baik, baru kita akan membuat keputusan untuk membuka semula pejabat yang telah ditutup,” katanya. – 26 September, 2023.

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Mat Sabu says rice supply can last four to five months

There is sufficient rice supply to cover the country’s domestic needs for the next four to five months, said Agriculture and Food Security Minister Datuk Seri Mohamad Sabu.

Related