PUTRAJAYA – Tokoh kewangan, Profesor Datuk Syed Othman Syed Husin Al-Habshi dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1445H/2023.
Syed Othman, 80, dari Peringgit, Melaka merupakan Dekan pertama Kuliyyah Ekonomi, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan pernah menjawat Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif di UNITAR.
Turut diumumkan enam penerima Anugerah Maulidur Rasul SAW iaitu Presiden Pertubuhan Penyebaran Islam dan Antarabangsa, Datuk Kamarudin Abdullah (Ikon Korporat Islam) dan pakar falak, Syed Kamarul Zaman Syed Kabeer (Ikon Sains dan Peradaban).

Penerima lain termasuk, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha (Ikon Aktivis Kemanusiaan); Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Dutch Lady Milk Industri, Datuk Dr Mohd Nordin Mohd Nor (Ikon Korporat Islam); Ketua Operasi Pertis, Zamzuri Ghani (Ikon Teknologi) dan bekas Pengarah Kolej Mara Kuala Nerang, Shaariah Dahmah.
Penganugerahan itu diumumkan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff ketika Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan penganugerahan itu kepada semua penerima Anugerah Perdana dan Anugerah Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan.
Kesemua penerima masing-masing menerima hadiah wang tunai, pingat, sijil penghargaan dan jongkong emas.
Bertemakan ‘Perpaduan Teras Malaysia Madani, sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan kali ini berlangsung di PICC, Putrajaya.
Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan hadir pada sambutan hari ini, selain Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri serta dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan tahun ini melibatkan penyertaan seramai 3,700 peserta dari 131 kontinjen kementerian, badan berkanun dan agensi swasta.
Kontinjen perarakan berarak dari Jambatan Seri Gemilang Putrajaya ke PICC dengan jarak sejauh 1.1 kilometer (km) yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Naim Mokhtar. – 28 September, 2023