Jerebu: Sekolah disaran henti aktiviti luar, ‘sistem respirasi, ketahanan paru-paru setiap pelajar berbeza’

Sekolah juga perlu sentiasa mengikut arahan serta panduan KKM dan sekiranya bacaan IPU mencapai tahap bahaya, sekolah sewajarnya ditutup buat sementara dengan pembelajaran secara online diadakan

9:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan sekolah disaran menghentikan sementara aktiviti luar bilik darjah dalam situasi jerebu semakin memburuk ketika ini, bagi mengelakkan risiko pelajar berdepan masalah kesihatan.

Pakar Perubatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, langkah itu adalah usaha pencegahan perlu diambil, memandangkan tahap ketahanan paru-paru dan sistem respirasi setiap pelajar berbeza.

Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata sebarang aktiviti luar bilik darjah adalah tidak disarankan di saat tahap kualiti udara semakin teruk disebabkan jerebu. – Gambar Bernama, 3 Oktober, 2023

“Saya sarankan tiada sebarang aktiviti luar bilik darjah diadakan buat ketika ini, di saat tahap kualiti udara semakin teruk disebabkan jerebu.

“Sistem respirasi dan ketahanan paru-paru setiap pelajar adalah berbeza lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai penyakit asma dan resdung. Mereka ini lagi mudah terkesan dan sensitif jika terdedah kepada jerebu dan habuk.

“Jadi, adalah lebih baik jangan buat langsung sebarang aktiviti luar buat masa ini,” katanya kepada Scoop.

Beliau turut mengingatkan orang ramai, terutama pelajar sekolah untuk memperbanyakkan minum air suam dan memakai pelitup muka ketika berada di luar rumah.

“Antara langkah pencegahan menghadapi jerebu, pastikan minum banyak air suam serta sentiasa memakai pelitup muka lebih-lebih lagi buat pelajar sekolah.

“Mana-mana pihak juga diingatkan jangan merokok atau vape di hadapan anak-anak kerana sudahlah jerebu, ini anda merokok atau vape pula depan mereka,” katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, menjadi tanggungjawab ibu bapa dan guru untuk memastikan tahap kesihatan anak serta pelajar masing-masing, sentiasa terjaga.

Tinjauan jerebu sekitar Putrajaya yang telah mencatat Indeks Pencemaran Udara IPU 153 baru-baru ini. – Gambar Scoop/Alif Omar, 3 Oktober, 2023.

“Warga pendidik dan ibu bapa perlu menjaga serta memastikan tahap kesihatan pelajar dan anak-anak mereka sentiasa dijaga, selain dalam keadaan baik.

“Masa jerebu ini, pihak sekolah janganlah terlalu ghairah untuk melakukan sebarang aktiviti di luar bilik darjah.

“Sekolah perlu pastikan mereka sentiasa mengikut arahan serta panduan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap bahaya, lebih baik sekolah ditutup buat sementara dan pembelajaran secara online diadakan,” katanya.

Setakat hari ini, lima kawasan, iaitu Petaling Jaya, Cheras, Banting, Nilai dan Seremban merekodkan bacaan IPU melebihi 101.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 adalah berbahaya. – 3 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Onn Hafiz, Rozi dilantik Pengerusi Jawatankuasa BN Johor, Terengganu

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Rozi Mamat dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) Negeri masing-masing

Pardons Board should disclose reasons behind Najib’s sentence reduction, urges Ramkarpal

The Pardons Board should disclose the reasons behind its decision to grant ex-prime minister Datuk Seri Najib Razak a reduced prison sentence and fine, said Bukit Gelugor MP Ramkarpal Singh.

FashionValet’s RM43.9 mil loss sparks public scrutiny over co-owner Vivy Yusof

Social media users demand explanation from Duck, Lilit founder on how Khazanah, PNB’s RM47 mil investment was managed

Related