Roger Ng sudah berada di Malaysia: Ketua Polis Negara

Bagaimanapun lokasi terkini bekas pegawai bank Goldman Sachs itu dirahsiakan atas faktor keselamatan

10:58 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng dilaporkan sudah berada di negara ini.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang enggan mendedahkan keberadaan dan lokasi terkini Roger atas faktor keselamatan.

Menurutnya, Roger tiba di negara ini tengah malam tadi bagi membantu proses siasatan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Saya sahkan dia sudah berada di negara ini,” katanya seperti dilaporkan Utusan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan perkara itu berkata, fokus kerajaan adalah untuk mendapatkan kembali aset yang dikaitkan dalam kes itu. 

Terdahulu, media melaporkan Roger yang dijatuhi hukuman penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat (AS) kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB, akan diserahkan kepada Malaysia untuk berdepan pertuduhan di negara ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, Roger hanya berada di AS untuk sementara sahaja sebelum ini bagi berdepan perbicaraan di negara itu.

“Dia telah disabitkan (hukuman) 10 tahun penjara, tetapi belum lagi menjalani pemenjaraan. Kita belum selesai lagi (siasatan), untuk itu kita maklumkan AS, dalam kes ini Jabatan Keadilan (DOJ), kita maklumkan melalui Pejabat Peguam Negara, mengikut perjanjian apabila selesai perbicaraan di sana, kita boleh dapatkan dia balik.

“Jadi, kita pun ikut perjanjian itu, maka pihak DOJ bersetuju untuk dia dihantar balik bagi tujuan pihak berkuasa di Malaysia meneruskan siasatan mengenai 1MDB ataupun mengenai Goldman Sachs,” katanya. – 8 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

Ahmad Samsuri kekal sebagai MB Terengganu

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, dekat sini hari ini

Operasi beras putih tempatan dilaksana

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.

Related