Malaysia boleh mainkan peranan penting dalam menyokong penubuhan pasukan perlindungan antarabangsa untuk Palestin

Walid menekankan mengenai pengaruh Malaysia di arena antarabangsa, dan potensi untuk menyokong resolusi berkenaan, yang bertujuan melindungi penduduk Palestin daripada keganasan berterusan

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu menggesa Malaysia meningkatkan usaha diplomatik bagi menjuarai isu Palestin dengan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengeluarkan resolusi bagi penubuhan pasukan perlindungan antarabangsa.

Ketika bercakap kepada Scoop, Walid menekankan mengenai pengaruh Malaysia di arena antarabangsa, dan berpotensi untuk menyokong resolusi berkenaan, yang bertujuan untuk melindungi penduduk Palestin daripada keganasan berterusan serta pencabulan hak asasi manusia oleh Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

Beliau berkata, dalam pertemuannya dengan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Johari Abdul dan Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Walid telah menyampaikan permintaan Presiden Palestin Mahmoud Abbas, yang menggesa masyarakat antarabangsa menyediakan pasukan perlindungan antarabangsa kepada penduduk Palestin.

Bagi mencapai matlamat berkenaan, beliau mencadangkan Malaysia membangkitkan resolusi berkenaan menerusi OIC atau PBB, memandangkan pengaruh yang dimiliki Malaysia dapat memberikan impak yang besar.

“Saya 100 peratus yakin bahawa (kerajaan Malaysia) boleh memainkan peranan, jika diimbas beberapa tahun lalu, Malaysia menaja resolusi di PBB bersama dengan negara lain, New Zealand, Colombia dan Senegal, kita berjaya dengan empat negara… dalam meluluskan resolusi yang memberi manfaat kepada Palestin,’’ katanya dalam pertemuan di pejabatnya, semalam.

“Untuk menghentikan kemusnahan Israel ke atas penduduk kami, dan mereka berjanji akan mengkajinya. Maka Insya-Allah, dengan mesyuarat OIC, Malaysia akan membawa resolusi ini di hadapan semua 57 negara Islam, atau menerusi Kumpulan ASEAN atau sesuatu yang boleh dilakukan yang amat dihargai, dan (yang) penting boleh membantu penduduk Palestin serta (melegakan) penderitaan mereka.’’

Walid berkata, salah satu elemen penting dalam pendirian Malaysia ialah kurangnya hubungan diplomatik dengan Israel, sehingga ia mengiktiraf secara rasmi penubuhan negara Palestin yang bebas dengan Al-Quds (Baitulmaqdis) sebagai ibu negara.

Walid memuji pendirian ini dan menyatakan harapannya agar Malaysia terus terlibat dalam menangani situasi buruk di Palestin.

Walid turut mengetengahkan gesaan antarabangsa, termasuk gesaan oleh Presiden Palestin dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Agung PBB pada September lalu.

Di sebalik gesaan penting itu, Walid berkata, komuniti antarabangsa masih belum memberikan tindak balas yang berkesan terhadap krisis berterusan di Gaza.

Sehingga kini, konflik di Gaza mengorbankan sekurang-kurangnya 2,300 nyawa termasuk 900 kanak-kanak dan 250 wanita, dengan hampir 10,000 mengalami kecederaan.

Walid berkata, dianggarkan setengah juta penduduk Palestin kini tidak mempunyai tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah dengan sekolah dan masjid turut dijadikan sasaran.

Malah katanya, petugas kesihatan turut tidak terlepas dengan sekurang-kurangnya 25 terbunuh dalam keganasan yang berterusan ini.

Walid turut menggesa campur tangan antarabangsa, selain kesal dengan tindak balas perlahan daripada PBB dan OIC.

Ketika mesyuarat OIC dijadualkan Rabu ini, Walid mempersoalkan kenapa ia mengambil masa selama hampir dua minggu untuk membincangkan isu Palestin, ketika Gaza berdepan situasi sukar.

Beliau merujuk kepada sejarah penubuhan OIC, berikutan serangan ekstremis ke atas Masjid Al-Aqsa, dan menggesa tindak balas yang lebih efektif daripada organisasi antarabangsa terhadap keadaan kritikal dialami penduduk Palestin.

Apa pun, kata Walid, menekankan kepentingan peranan Malaysia dalam menyokong penyelesaian konflik secara aman dan penubuhan pasukan perlindungan antarabangsa.

“Ia adalah permintaan saya kepada Speaker dan Menteri Luar, jika mereka boleh membangkitka resolusi untuk menyediakan penduduk Palestin dengan pasukan perlindungan antarabangsa untuk menghentikan pembunuhan, jenayah dan perlanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel,’’ katanya. – 17 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Leaked gas vapours easily ignited, leading to massive explosion in Putra Heights: fire expert

KUALA LUMPUR – The gas pipeline fire in Putra Heights, Subang Jaya, today is believed to have been caused by a “boiling liquid expanding vapour explosion” (BLEVE), according to a retired senior...

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related