KUALA LUMPUR – Terdapat kesan hurungan atau najis tikus di bahagian dapur. Begitulah keadaan dapur di beberapa premis makanan di sekitar ibu kota semasa Operasi Sepadu Bersih dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), malam tadi.
DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan, dua premis makanan diarah tutup selepas didapati dalam keadaan kurang memuaskan semasa operasi dijalankan.

“Sejumlah 41 daripada 64 premis yang dilawati telah diperiksa manakala selebihnya tidak beroperasi.
“Hasil pemeriksaan, dua premis dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan 28(1) WPKL 2016,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, operasi semalam dilaksanakan 52 petugas dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL membabitkan 41 premis di sekitar Bandar Baru Seri Petaling, Jalan Pasai, Jalan Radin Anum 2, Jalan Dutamas 1 dan L2 pusat beli-belah Hartamas.

Katanya, operasi turut dijalankan di Jalan Raja Muda Musa Kampung Baru, Jalan Ampang dan di Jalan Landak serta Jalan Brunei.
DBKL berkata, sebanyak 57 kompaun turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan WPKL 2016, Undang-Undang Kecil Pengendali Makan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Tindakan dikenakan ke atas pelbagai kesalahan, khususnya pemilik atau pekerja gagal mendapatkan suntikan tifoid dan menghadiri kursus pengendali makanan, tidak memasang perangkap minyak dan perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik menyebabkan tersumbat dan berbau.
“Selain itu, kesalahan lain termasuk, lantai dan dinding di ruang dapur kotor dan berdaki hitam, lesen perniagaan tamat tempoh, meletakkan makanan mentah di atas lantai dan lorong belakang premis di jadikan tempat penyediaan makanan,” katanya.
Pada masa sama, DBKL berkata, kebanyakan pemilik premis makanan masih mengambil ringan soal kebersihan di premis mereka.
“Berdasarkan statistik tindakan, boleh disimpulkan kebanyakan pemilik premis masih mengambil sikap sambil lewa mengenai soal kebersihan ini.
“Takkan nak tunggu dikenakan tindakan baru nak berubah?” katanya. – 19 Oktober, 2023