SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengungguli senarai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat bagi penggal 2023-2025.
Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS memenangi pemilihan jawatan itu apabila mendapat undian tertinggi sebanyak 1,098 undi.
Selain Sanusi, seramai 17 lagi calon turut dipilih ke jawatan AJK PAS Pusat, antaranya mantan Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi; Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud serta Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.
Keputusan itu diumum Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS Pusat kali ke-69, Ab Halim Tamuri.
Sementara itu, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man masing-masing menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden dan timbalan presiden.
Jawatan naib presiden turut tidak dicabar calon lain sekali gus menyaksikan, Datuk Idris Ahmad, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Nik Mohamad Amar Abdullah kekal menerajui jawatan itu untuk dua tahun lagi.
Dalam pada itu, Sanusi berkata, PAS berhasrat menawan Perak dan Pahang pada pilihan raya akan datang, selain mengekalkan empat negeri sedia ada iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
Menurutnya, ia bagi mempertingkatkan lagi penguasaan parti itu di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, masih banyak lagi langkah politik harus diambil parti, antaranya menetapkan agenda politik yang tidak membosankan khususnya untuk menawan pengundi muda.
“PAS perlu melangkah ke pagar sebelah, depan, belakang kiri dan kanan untuk menjadi medan baru. Kita mesti mempelbagaikan langkah politik dan tidak lagi terkurung dalam strategi tradisi parti.
“Selain empat negeri, PAS mesti merangka untuk bergerak ke hadapan ke tahap seterusnya iaitu menguasai sekurang-kurangnya satu negeri lagi, sama ada Pahang atau Perak.
“Kalau Perak tak dapat kita pergi ke Pahang, kalau dapat dua-dua lagi bagus. Ia adalah untuk meningkatkan lagi jumlah kerusi PAS di Parlimen dan DUN,” katanya pada sesi penggulungan di Muktamar Tahunan PAS kali ke-69, di sini, hari ini.
Sanusi berkata, PAS kini adalah parti terbesar kerana memiliki kerusi Parlimen dan DUN terbanyak dan sebagai ‘king maker’ dalam semua keputusan serta gerakan dalam politik Malaysia.
“Tak ada dah parti lain yang boleh diharap oleh rakyat Malaysia selain PAS untuk mencatur dan menyusun perjalanan politik negara,” katanya.
Berikut keputusan penuh pemilihan PAS bagi sesi 2023-2025:
Presiden:
Tan Sri Abdul Hadi Awang
Timbalan Presiden:
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden:
Datuk Idris Ahmad
Datuk Mohd Amar Abdullah
Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahli Jawatankuasa Kerja:
1. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
2.Ahmad Fadhli Shaari
3.Muhammad Khalil Abdul Hadi
4.Dr Azman Ibrahim
5.Dr Halimah Ali
6.Ir Khairil Nizam Khirudin
7.Datuk Ustaz Ahmad Marzuk Shaari
8.Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff
9.Datuk Awang Hashim
10.Dr Riduan Mohamad Nor
11.Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim
12.Datuk Mohd Nassuruddin Daud
13.Datuk Mohamed Fadzli Hassan
14.Kamaruzaman Mohamad
15.Dr Najihahtussalehah Ahmad
16.Misbahul Munir Masduki
17. Datuk Iskandar Abdul Samad
18.Dr Rosni Adam
– 22 Oktober, 2023