Seorang pemimpin yang baik perlu jadi ‘lebih putih dari putih’: Syed Saddiq

Pasukan pembelaannya akan memfailkan rayuan selewat-lewatnya hari ini dan berharap tarikh perbicaraan ditetapkan secepat mungkin

2:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kelihatan murung, menerima keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati beliau bersalah atas empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram dana Armada Bersatu berjumlah RM1.12 juta.

Beliau memberitahu sidang akhbar di luar mahkamah di sini, bahawa seorang pemimpin yang baik perlu menjadi ‘lebih putih dari putih’.

“Saya percaya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang hebat, ia adalah mengenai membina institusi yang kukuh, mengatasi keperibadian dan kepartian.

“Tetapi, untuk menjadi seorang pemimpin itu, anda perlu jadi “lebih putih dari putih”. Saya tahu kedudukan saya hari ini, itulah sebabnya saya secara peribadi membuat keputusan mengenai apa yang saya ingin lakukan mengenai kedudukan saya sebagai Presiden Muda.

“Jika saya tidak berpegang pada prinsip saya, maka saya sudah meninggalkan sebab mengapa saya menyertai politik,” katanya.

Nasibnya sebagai presiden parti itu akan diketahui lewat hari ini kerana Muda akan bermesyuarat petang ini.

Bagaimanapun, peguam belanya yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo memberitahu Scoop bahawa jawatan Syed Saddiq sebagai Ahli Parlimen Muar akan dikekalkan kerana beliau diberi penangguhan pelaksanaan hukuman hari ini, dan keputusan bersalah hanya akan menjejaskan kedudukannya sebagai Presiden Muda.

Gobind juga mengesahkan bahawa pasukan pembelaan akan memfailkan rayuan selewat-lewatnya hari ini dan berharap tarikh perbicaraan ditetapkan secepat mungkin.

Sementara itu, Syed Saddiq berkata, beliau menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid, kerana ia juga datang dengan “rasa konsisten dalam mempertahankan institusi keadilan”.

“Saya di sini bukan untuk mencerca, mengutuk atau mencemarkan nama baik institusi. Akhirnya, saya sama seperti rakyat Malaysia yang lain dan harus dinilai (sebegitu rupa),” katanya.

Namun begitu, beliau merasakan ada kes kukuh untuk difailkan di Mahkamah Rayuan untuk membersihkan namanya, selepas perbincangan dengan pasukan dan peguamnya.

Di sebalik jatuh bangunnya politik, Syed Saddiq juga berkata, beliau akan terus berjuang untuk menegakkan kebenaran dan membantu menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Awal hari ini, Syed Saddiq didapati bersalah atas empat tuduhan pecah amanah, salah guna wang dan pengubahan wang haram selepas Azhar mendapati tiada merit dalam pembelaannya.

Atas pertuduhan pertama, Syed Saddiq didapati bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) kerana bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali yang diamanahkan dengan dana sayap parti itu berjumlah RM1 juta, melakukan kesalahan tersebut dengan menyalahgunakan dana terbabit mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan beliau boleh dihukum maksimum penjara 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Beliau juga didapati bersalah atas satu pertuduhan menyeleweng dana Armada Bumi Bersatu Enterprise (ABBE) berjumlah RM120,000, dengan menyebabkan Rafiq melupuskan dana itu, mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah Tinggi juga mendapati beliau bersalah atas dua tuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram membabitkan dua transaksi RM50,000, setiap satu, dipercayai hasil daripada aktiviti haram.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama dan berdepan hukuman penjara maksimum 15 tahun dengan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah yang diperoleh daripada pengubahan wang haram.

Syed Saddiq dihadapkan ke mahkamah pada 2021 untuk menghadapi empat pertuduhan itu.

Perbicaraan di peringkat pendakwaan bermula pada Jun tahun lepas, manakala hakim memerintahkan Syed Saddiq membela diri pada Oktober tahun yang sama. – 9 November, 2023

Topics

 

Hangat

MAHB posts over 11 mil in total passenger movements for Feb 2024

Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) showed an unusually strong growth momentum with a record of 11 million passenger movements in February 2024 despite the shorter month.

Ringgit eases against dollar as Fed official’s comments dampen rate cut hopes

Local note at 4.6910/6950 versus greenback at 9am

Guru guna gambar ‘askar China’ pada poster dikenakan tindakan tatatertib: Fadhlina

Kementerian Pendidikan sudah mengambil tindakan tegas melalui siasatan Unit Integriti dan tindakan tatatertib terhadap guru itu

Related