4 Ahli Parlimen Bersatu sokong kerajaan ‘pukulan’ kepada kepimpinan Muhyiddin: Penganalisis

Pakar mengatakan, tindakan mereka juga menunjukkan ketidakyakinan terhadap kepimpinan Bersatu di bawah teraju Muhyiddin

8:00 AM MYT

 


KUALA LUMPUR — Tindakan empat Ahli Parlimen pembangkang dari Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, disifatkan sebagai satu ‘pukulan’ kepada kepemimpinan parti itu terutama Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik yang juga Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Jeniri Amir berkata, tindakan itu juga menunjukkan ketidakyakinan mereka terhadap kepemimpinan Bersatu di bawah teraju Muhyiddin.

“Ini seperti satu pukulan kepada pemimpin Bersatu apabila Ahli Parlimen dibuang dari Bersatu, ini pasti akan memberi gambaran buruk kepada parti berkenaan.

“Ia sekali gus melihatkan ada sesuatu yang tidak kena sehingga kita boleh anggap ketidakstabilan berlaku dalam parti itu kesan tindakan beberapa ahli ini,” katanya kepada Scoop.

Datuk Jeniri Amir berkata, tindakan empat Ahli Parlimen itu menguatkan lagi kedudukan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan segala dasar dan inisiatif untuk kesejahteraan rakyat – Gambar MPI, 10 November, 2023

Beliau berkata, sokongan ahli Parlimen itu juga menunjukkan bahawa mereka yakin dengan langkah yang cuba dilaksanakan oleh Perdana Menteri dalam membawa negara keluar dari belenggu masalah dihadapi termasuk politik dan ekonomi.

“Keadaan ini menguatkan lagi kedudukan Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan untuk meneruskan segala dasar dan inisiatif untuk kesejahteraan rakyat dan kebaikan negara melangkah ke hadapan.

“Kerajaan Perpaduan sudah tentu semakin kukuh untuk memastikan segala dasar yang hendak dilaksanakan itu dapat terus digerakkan demi kebaikan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu Penganalisis Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Sivamurugan Pandian berkata, keputusan empat Ahli Parlimen berkenaan harus dilihat Bersatu sebagai satu krisis yang wujud dalam kepimpinan mereka.

Malah beliau tidak menafikan bahawa tindakan itu juga pasti memberi tekanan kepada Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Profesor Datuk Sivamurugan Pandian berkata, tindakan empat Ahli Parlimen tersebut pasti memberi tekanan kepada Presiden Bersatu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) – Gambar USM, 10 November, 2023

“Kerana empat orang itu angka yang agak besar dan dibimbangi akan ada lebih ramai yang akan keluar.

“Mengapakah perkara ini berlaku harus dinilai Bersatu, melangkaui persoalan ia semata-mata untuk mendapatkan peruntukan Ahli Parlimen dari kerajaan.

“Apakah wujud perkara atau isu lain dalam parti sehingga membawa kepada kedudukan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata, Bersatu juga harus menilai apakah mekanisme yang harus digunapakai untuk melihat ini bukan satu krisis dalaman parti.

“Apakah parti perlu merangka satu bentuk mekanisme baharu untuk membolehkan peruntukan dalam parti digunapakai bagi membantu wakil rakyat mereka supaya perkara ini tidak menjadi lebih besar,” katanya.

Ditanya sama ada isu ini akan menjejaskan gabungan dalam PN dan adakah perlu bagi PAS memainkan peranan yang lebih besar dalam PN, Sivamurugan berkata, “Perkara itu ada kemungkinan.

“Pendekatan dalaman parti harus boleh dirombak supaya masing-masing tahu ada kepentingan dan bagaimana masing-masing ada ruang yang mana mereka boleh setia kepada parti,” katanya.

Terdahulu, empat Ahli Parlimen pembangkang membuat pengumuman mengejutkan apabila menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri.

Baru-baru ini, (dari kiri) Ahli Parlimen Labuan, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Jeli membuat pengumuman mengejutkan apabila menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri – Gambar Facebook masing-masing, 10 November, 2023

Pada awalnya, sokongan itu dinyatakan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Namun pada Rabu, Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim mengambil tindakan sama, sebelum Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik turut berbuat demikian.

Sementara Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang-PN) pula akan memberikan sokongan kepada kepimpinan Anwar jika Kerajaan Perpaduan memberikan peruntukan kepada Parlimennya.

Muhyiddin ketika mengulas mengenainya berkata, tindakan Ahli Parlimen Gua Musang dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik, bercanggah dengan pendirian parti.

Beliau turut menyeru ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi parti itu menangani perkara tersebut. – 10 November, 2023

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

[UPDATED] Moral responsibility: ministers with multiple pensions should choose only one, says Anwar

Government politicians receiving multiple pensions have a moral responsibility to only opt for one pension scheme, said Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Related