KUALA LUMPUR – Seluruh umat Islam harus bersatu hati dalam mempertahankan bumi Palestin daripada terus dijajah rejim Zionis melalui apa jua cara (berdoa dan boikot).
Menurut khutbah Jumaat bertajuk Kekuatan Dari Kesatuan dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, umat Islam akan menjadi lebih kuat sekiranya bersatu hati menentang penjajahan serta kezaliman Israel ke atas rakyat Palestin.
Katanya, perselisihan dan perpecahan yang berlaku dalam kalangan umat Islam hari ini menjadikan Islam dipandang lemah oleh rejim Zionis dan sekutunya.
“Benarlah sabda Rasulullah SAW, umat Islam di akhir zaman ini walaupun ramai tetapi hanyalah seperti buih di lautan.
“Sepatutnya kita berterima kasih kepada penduduk Gaza dan pejuang Hamas kerana berkorban nyawa mempertahankan tanah air mereka yang juga salah satu tanah suci yang padanya terdapat arah kiblat pertama umat Islam iaitu Masjid al-Aqsa.
“Kita terhutang budi kepada mereka kerana tanpa ada pengorbanan dan keteguhan mereka, pastinya Bumi al-Quds sudah lama dirampas oleh rejim Zionis,” katanya.
Pada masa sama, Mimbar turut mengingatkan umat Islam agar sentiasa bermuhasabah diri dengan melihat kepada kesusahan dan penderitaan dialami rakyat Palestin, supaya dengan kesatuan itu akan mendatangkan gerun dalam hati orang yang memusuhi Islam.
Sementara itu, khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berpesan kepada umat Islam agar sentiasa melakukan amal soleh dan menjauhkan diri daripada perkara yang boleh membawa fitnah.
Malah, umat Islam juga digalakkan untuk terus menuntut ilmu daripada guru-guru yang mursyid agar tahap akidah sentiasa berada di landasan yang betul.
“Umat Islam hendaklah yakin akan janji-janji Allah SWT. Berpeganglah dengan akidah dan keyakinan yang benar, bersyariat dengan betul dan berakhlak mulia dalam mendepani pelbagai cabaran.
“Jadikan diri kita sentiasa takutkan Allah SWT dan sentiasa mengharap kepadaNya demi kejayaan di dunia dan di hari pembalasan kelak,” katanya.
Khutbah Jumaat Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) pula menekankan topik Integriti Sebagai Jati Diri Ummah, yang mana seseorang itu perlulah amanah dalam setiap tugas yang diamanahkan.
Ummah juga digesa untuk meninggalkan segala perbuatan dilarang Islam seperti pecah amanah dan rasuah yang menjadi antara punca menyebabkan negara terjerumus ke dalam pelbagai krisis sehingga boleh menggugat kestabilan serta kesejahteraan masyarakat.
“Ummah pada setiap masa wajib mengamalkan integriti, bersikap jujur, ikhlas, takwa kepada Ilahi serta menginsafi akan adanya pengadilan Rabbuljalil pada hari kebangkitan.
“Perlakuan keji seperti pecah amanah, rasuah, ketirisan khazanah negara, pencemaran dan bencana alam berlaku disebabkan sikap dan perangai mereka yang mengabaikan amanah, tidak berintegriti, tidak bermaruah dan mementingkan diri sendiri,” katanya. – 17 November,2023