‘Terima kasih Kuala Lumpur’: Coldplay

Kata-kata penghargaan itu diluahkan kumpulan berkenaan menerusi platform X sejurus selesai konsert di Malaysia

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, kumpulan rock dari Britain, Coldplay meluahkan kata penghargaan kepada peminat mereka di Malaysia menerusi hantaran di platform X.

Malah, kumpulan itu menggambarkan persembahan berkenaan sebagai momen luar biasa dan cukup bermakna.

Lebih istimewa, kata-kata berkenaan ditulis dalam bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan negara ini.

“Terima kasih, Kuala Lumpur – that was epic (ia adalah epik),” katanya.

Hantaran di media sosial Coldplay yang mengucapkan penghargaan kepada peminat di Malaysia sempena konsert Coldplay: Music of The Spheres Tour di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar platform X, 23 November, 2023

Hantaran itu mendapat perhatian daripada netizen apabila ia menerima lebih 146,000 tontonan dengan lebih 8,200 tanda suka dalam tempoh kurang sejam, selepas dimuat naik pada 1.54 pagi ini.

Rata-rata mengucapkan terima kasih atas persembahan cukup bertenaga dan menghiburkan diberi Coldplay kepada peminat Malaysia sepanjang kira-kira dua jam konsert berlangsung.

Ada segelintir pula menyifatkan konsert itu sebagai ‘hadiah bernilai’ dan umpama impian menjadi kenyataan kepada peminat yang mendambakan kumpulan terbabit, mengadakan persembahan di Malaysia.

“Terima kasih Coldplay sebab datang Malaysia. Anda menceriakan hari saya,” kata @miajooniverse_.

“Terima kasih atas persembahan yang hebat guys,” tulis @navamyg.

“Sila datang lagi ke Malaysia,” komen seorang netizen.

“Terima kasih untuk persembahan mengagumkan ini, harap anda akan kembali ke sini,” respon pengguna lain.

“Terima kasih untuk Malaysia Rain,” ujar seorang netizen mengenai lagu Malaysia Rain yang dinyanyikan vokalis Coldplay, Chris Martin secara spontan susulan hujan di konsert itu.

“Coldplay memang kumpulan terbaik di dunia,” kata seorang peminat.

Sementara itu, ketika persembahan, Chris mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana membenarkan kumpulan terbabit mengadakan siri konsert berkenaan.

Ini adalah kali pertama kumpulan itu mengadakan konsert di Malaysia dalam siri jelajah Coldplay: Music of The Spheres Tour yang bermula sejak Mac lalu.

Terdahulu, Coldplay yang dianggotai Chris, Johny Buckland, Guy Berryman serta Will Champion mencatat rekod sebagai antara kumpulan yang berjaya menjual tiket terbanyak dan terlaris di dunia.

Kumpulan itu dilaporkan tiba di Kuala Lumpur awal pagi kelmarin bagi menjayakan persembahan berkenaan yang turut menyaksikan Malaysia, sebagai negara terakhir konsert mereka tahun ini, sebelum ia diteruskan ke beberapa negara lain bermula Januari depan.

Susulan konsert itu, kawalan keselamatan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penganjur diperketatkan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menerusi kenyataan memaklumkan, konsert berkenaan turut menggunapakai suis pemati (kill switch) sebagai antara kawalan keselamatan.

Suis itu berfungsi untuk menghentikan konsert yang melanggar garis panduan ditetapkan. – 23 November, 2023

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related