PDRM terima lebih 40 laporan polis ancaman bom palsu: KPN

Akaun e-mel yang menggunakan nama “Taktstorer” itu dikenal pasti berasal daripada Cyprus dan alamat protokol internet e-mel itu dari Finland yang sering berubah

9:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 44 laporan berhubung ancaman bom palsu di seluruh negara sejak Selasa lepas sehingga 8 pagi tadi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata jumlah yang diterima itu melibatkan sekolah kerajaan, swasta dan antarabangsa.

Beliau berkata akaun e-mel yang menggunakan nama “Taktstorer” itu dikenal pasti berasal daripada Cyprus dan alamat protokol internet e-mel itu dari Finland yang sering berubah.

“Kami ada menghubungi Pengarah Pelajaran Negeri untuk sekolah yang mempunyai e-mel Google (untuk kenal pasti ancaman bom palsu),” katanya kepada pemberita selepas hadir Majlis Pengiktirafan Tolak Rasuah dan Pelancaran Peraturan 3C sempena sambutan Bulan Integriti 2023 di Maktab PDRM, Cheras di sini hari ini.

Razarudin berkata polis telah menjalankan tindakan pembersihan keselamatan di sekolah-sekolah terlibat yang kononnya ada ditanam bom di kawasan sekolah.

“Saya beri jaminan bahawa kepada ibu bapa, murid-murid dan guru-guru bahawa keselamatan mereka adalah keutamaan polis, “ katanya.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati negara lain juga turut mendapat ancaman bom palsu seperti Jamaica (dikenal pasti sebanyak 70 panggilan bom palsu), Trinidad dan Tobago, Jerman dan Amerika Syarikat.

“Kita masih meneruskan siasatan kita dengan bantuan-bantuan negara terlibat termasuk Biro Siasatan Persekutuan (FBI),” katanya.

 Sementara itu di PULAU PINANG, sebuah lagi sekolah iaitu  sekolah menengah agama di Tasik Gelugor membuat laporan polis selepas menerima ancaman bom menerusi e-mel.

Ia menjadikan empat buah sekolah termasuk tiga buah sekolah antarabangsa di negeri ini menerima ancaman ugutan bom.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata sekolah itu menerima e-mel berhubung ancaman bom itu Selasa lepas namun baru menyedari e-mel berkenaan hari ini.

“Kami menerima satu lagi laporan polis ancaman bom menerusi e-mel hari ini dari guru sebuah sekolah di Tasek Gelugor pada 1.55 tengah hari tadi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, PDRM menerima 37 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar melalui e-mel ke beberapa buah sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.

Ancaman berkenaan dihantar menerusi dua akaun e-mel menggunakan nama “taktstorer” yang bermaksud pengganggu ketenteraman dalam Bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan e-mel beeble.com. – 23 November, 2023

Topics

 

Hangat

Ringgit eases against dollar as Fed official’s comments dampen rate cut hopes

Local note at 4.6910/6950 versus greenback at 9am

Ahmad Samsuri kekal sebagai MB Terengganu

Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu bagi penggal kedua di Istana Syarqiyyah di Chendering, dekat sini hari ini

Operasi beras putih tempatan dilaksana

“Ini bagi memastikan keseluruhan rantaian bekalan pengedaran beras di semua peringkat, mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada,” katanya.

Related