GAZA – Ayman Harb, bapa kepada tiga anak, terperangkap bersama keluarganya di Shujayea selama lebih sebulan perang, walaupun bom dan kereta kebal Israel memusnahkan kawasan terbesar yang dikepung itu.
Minggu lalu, sejurus sebelum jeda kemanusiaan empat hari berkuatkuasa, dia bersama keluarganya terpaksa melarikan diri.
Salah seorang anak lelakinya menghidap cerebral palsy dan memerlukan tangki oksigen, dan askar Israel mengugut untuk menembak Harb jika dia tidak membuang alat bantuan pernafasan itu.
Kini di tengah Gaza, Harb hanya mempunyai satu impian agar gencatan senjata bertukar menjadi gencatan senjata kekal yang membolehkan dia dan keluarganya pulang semula ke rumah mereka.
Semalam, ketika gencatan senjata selama empat hari hampir berakhir, Qatar memainkan peranan penting dalam perantara rundingan yang membolehkan gencatan senjata dilanjutkan dua hari lagi.
Bagi keluarga di seluruh Gaza, jeda singkat itu juga menggambarkan penderitaan dan penghinaan 2.3 juta penduduk di kawasan itu yang diserang sejak 7 Oktober lalu.
Rakyat Palestin menggesa gencatan senjata kekal, menekankan bahawa keutamaan mereka adalah untuk kembali ke rumah masing-masing yang musnah dalam pengeboman tentera Israel.
Gencatan senjata itu, yang bermula Jumaat lalu menyaksikan pembebasan tawanan awam Israel oleh Hamas sebagai pertukaran untuk pembebasan wanita dan kanak-kanak Palestin yang dipenjarakan oleh Israel.
Ia menenangkan seketika ruang udara di Gaza daripada bunyi tanpa henti dron dan pesawat perang Israel.
Tetapi ia tidak banyak membantu untuk meredakan trauma kolektif penduduk Gaza.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, 1.6 juta penduduk Palestin dipindahkan dari rumah mereka dengan kebanyakannya terpaksa melarikan diri ke selatan wilayah itu.
Beberapa keluarga yang cuba kembali ke utara Gaza semasa gencatan senjata telah ditembak oleh penembak tepat Israel. – Agensi