Ketua Sami susah hati isu konsert di wat jadi besar dan keruhkan suasana harmoni

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran anak muda Siam ke Wat kerana dengan cara ini mereka boleh bergaul dengan sami-sami."

8:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Ketua Sami di Wat Pathumviharn, CM Chee berkata, beliau berasa sangat susah hati dengan perkembangan isu sambutan Pesta Loy Krathong di Kg Balai, Bachok pada 25 November lalu.

Chee menerusi luahan dalam Facebooknya turut menyuarakan kekhuatiran isu itu akan menjadi lebih besar dan mengeruhkan suasana harmoni antara kaum di Kelantan, sekali gus memberi imej tidak baik kepada Wat Pathumviharn.

Menurut Chee, pihaknya telah memohon kebenaran untuk acara tersebut dan melantik pasukan Rela untuk menjaga keamanan serta menjelaskan semua yang akan diadakan di Wat Pathumviharn kepada polis.

“Untuk pengetahuan semua, persembahan nyanyian dalam kalangan masyarakat Siam merupakan satu acara yang istimewa dan ramai masyarakat muda Siam akan tertarik dan datang ke Wat kerana hanya diadakan sekali setahun.

“Kami amat mengalu-alukan kehadiran anak muda Siam ke Wat kerana dengan cara ini mereka boleh bergaul dengan sami-sami, mereka boleh belajar sedikit amalan agama, dan banyak lagi aktiviti lain yang mereka boleh lakukan di sini, dan yang paling penting mereka tidak akan berasa janggal untuk datang ke Wat,’’ katanya.

Penganjur konsert Pesta Loy Kratong di Bachok didenda melebihi RM10,000 kerana gagal mematuhi sebahagian peraturan yang ditetapkan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan – Gambar tangkap layar, 29 November, 2023

Kerajaan Kelantan hari ini memaklumkan penganjur konsert Pesta Loy Kratong di Bachok akan dikenakan denda melebihi RM10,000 kerana gagal mematuhi sebahagian peraturan yang ditetapkan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah berkata, penganjur gagal mematuhi sebahagian peraturan dan antara kesalahan yang dikenalpasti ialah menampilkan penyanyi dari Thailand yang tidak mematuhi etika pemakaian.

Pada Rabu lalu, Ketua Wanita PKR Kelantan, Nor Azmiza Mamat menggesa Kerajaan Kelantan mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan terhadap satu konsert yang berlangsung di Bachok, di mana penyanyinya memakai pakaian mencolok mata, sekali gus didakwa tidak mematuhi Enakmen Kawalan Hiburan Negeri Kelantan.

Konsert tersebut dianjurkan sempena Pesta Loy Krathong dan melalui beberapa sebaran video di TikTok, ia memperlihatkan pakaian penyanyi serta penari dalam keadaan mencolok mata.

Chee berkata, persembahan di Wat Pathumviharn itu adalah acara menyambut salah satu perayaan utama kaum Siam yang dipanggil Loy Krathong.

Perayaan Loy Krathong itu, katanya telah disambut selama 29 tahun di wat berkenaan dan dianggap oleh masyarakat Siam sebagai satu acara tahunan yang amat meriah.

Tambah Chee, persembahan nyanyian memberikan kegembiraan serta melegakan tekanan hidup mereka, dan dengan adanya acara seperti itu golongan muda kampung Siam boleh belajar untuk bergaul dengan orang ramai.

“Kita boleh melihat telatah orang ramai, belajar untuk bergembira, belajar untuk berkawan, melihat sendiri baik serta buruk orang dan yang penting semua pengalaman ini dipelajari dalam pagar wat, dipagar oleh adat, budaya serta agama, pengalaman ini akan dibawa oleh mereka ke alam realiti bagi masyarakat Siam di sini.

“Selain belajar agama, wat juga tempat belajar menghadapi kehidupan dan mendewasakan diri,’’ kata Chee yang turut memaklumkan bahawa beliau mahu melihat anak-anak kaum Siam berlari seiring dengan kaum-kaum lain, tidak ketinggalan dari segi pemikiran dan pengalaman.

Jelasnya, rakyat Kelantan memang terkenal dengan semangat bersepakat walaupun berlainan pendapat, berlainan agama tetapi sifat hormat-menghormati sudah diajar sejak sekian lama. – 28 November, 2023

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

[UPDATED] Moral responsibility: ministers with multiple pensions should choose only one, says Anwar

Government politicians receiving multiple pensions have a moral responsibility to only opt for one pension scheme, said Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Related