KUALA LUMPUR – Susulan ‘perbalahan’ mengenai isu sama ada individu Muslim wajar atau sebaliknya mengadakan acara berkumpul secara santai di kelab malam dan pub (afterparty) sejak beberapa hari lalu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri tampil memberi penjelasan.
Ia susulan hantaran video dimuatnaik seorang pengguna Twitter dikenali Amalina yang kini sedang menuntut di Universiti Oxford, United Kingdom, London.
Amalina memberi pandangan mengenai isu berkenaan dengan menyifatkan berkunjung ke tempat itu untuk acara berkenaan, sebagai pilihan sendiri dan hak peribadi seseorang.
Malah, menerusi ciapannya, dia mengatakan individu Muslim dilarang berada di tempat seperti kelab malam yang menjual dan menghidang arak tetapi Malaysia memiliki hotel menawarkan minuman beralkohol itu.
“Anda tidak boleh berada di tempat di mana arak dijual. Dan kemudian kita ada hotel di Malaysia…?” tulisnya.
Justeru, menerusi jawapan diberikannya, Zulkifli menegaskan, hotel dan kelab malam adalah dua tempat berbeza, dengan hukum berlainan.
“Sabda Rasulullah SAW, barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, jangan duduk pada hidangan di mana arak dihidangkan.
“Hotel adalah tempat untuk menginap, bermalam. Ia berbeza dengan pub dan kelab malam kerana itu sememangnya tempat minum arak.
“Ada dua bentuk pengharaman, iaitu muharramat al-wasa’il (perkara yang dihukum haram kerana ia menjadi wasilah kepada perkara haram) dan muharramat al-maqasid (perkara yang haram pada zatnya).
“Muharramat al-wasa’il boleh jadi harus atau makruh mengikut situasi. Muharramat al-maqasid adalah haram,” katanya.
Beliau berkata, Muslim menginap di hotel kerana ada urusan serta keperluan dan tidak ada antara mereka yang menginap di hotel semata-mata untuk minum arak.
“Arak pula kebiasaannya dihidangkan di bar yang khusus, berasingan daripada tempat minuman panas dan sejuk lain,” katanya.
Zulkifli berkata, sama juga situasinya dengan menaiki kapal terbang apabila tidak ada Muslim yang menaiki kapal terbang semata-mata untuk minum arak.
“Semuanya ada keperluan dan urusan tertentu. Walaupun Islam tak pernah halang intellectual discourse (wacana intelektual), syarat asasnya adalah faham permasalahan isu.
“Jika tidak, saudari cuma bermain strawman fallacy (hujah sendiri). Ramai cuba mengkritik, akhirnya terjerumus ke sini. Hotel dan kapal terbang (sebagai contoh) adalah muharramat al-wasa’il. Maka, harus hukumnya kerana ada hajat. Asalkan tak bercampur dengan apa-apa majlis khusus yang dihidangkan arak, jika mampu.
“Pub, disko dan kelab malam itu muharramat al-maqasid. Jelas di situ tempat dihidangkan arak dengan bebas, termasuk pelbagai aktiviti yang mungkin tidak selari dengan adab Muslim,” katanya.
Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, Muslim mempunyai jati diri dan prinsip, malah tidak ada walau satu kerugian jika sepanjang belajar di luar negara, seorang Muslim memilih untuk tidak pergi ke tempat sebegitu.
“Terlalu banyak tempat lain boleh anda pilih untuk berhibur dan bersosial bersama-sama rakan bukan Muslim.
“Semoga saudari bergraduasi dengan cemerlang, pulang ke Malaysia, menyumbang untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.
Jawapan dan penjelasan diberikan Zulkifli berkenaan menerima respons baik daripada Amalina yang menyatakan dia menghargai apa dinyatakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.
“Dr Zulkifli yang dihormati, ini sememangnya jawapan yang menenangkan dan jelas. Saya menghargai masa anda untuk menjelaskan mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan dengan cara paling baik.
“Saya ingin berjumpa anda apabila saya kembali ke Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Amalina ketika berkongsi pengalamannya sepanjang menuntut di UK dan mengakui turut menyertai pengumpulan di kelab malam dan pub kerana di negara berkenaan katanya, pusat hiburan di situ bukan semata-mata untuk berpesta, sebaliknya sebagai lokasi wancana intelektual.
“Baru-baru ini, ada isu mengenai pergi kelab atau tak pergi kelab, saya tak tuding jari siapa betul, siapa salah, saya cuma nak kata di UK, pub dan bar tempat orang ramai bersosial.
“Sebagai Islam, saya pergi ke bar dan bertemu orang hebat, pensyarah mengagumkan dan profesor di bar di sini. Tempat ini pun tidak bermaksud untuk berparti atau minum, kebanyakan masa kita gunakan bar sebagai tempat bersosial selepas perbincangan mengenai akademik.
“Kita berbincang mengenai polisi awam, tingkah laku, epidemiologi, penyelidikan kanser dan paling penting anda buat pilihan, jika anda pilih untuk ke bar, ia pilihan anda sendiri, jika anda pilih untuk tidak ke bar, tak bermaksud anda perlu halang semua orang supaya tak ke bar, akhirnya itu antara anda dan Tuhan,” katanya.

Isu ke kelab malam dan pub dalam kalangan mahasiswa UK itu mula hangat selepas seorang pempengaruh, Aisyah Shofi memberikan pandangan dan mengkritik Malaysia Society (MSoc) bagi penganjuran Sukan Malaysia (MGames) di Manchester, sehingga video dirakamnya tular di media sosial serta menerima pelbagai pendapat.
Dalam video di TikTok itu, Aisyah menekankan bahawa MSoc secara tradisinya menganjurkan MGames untuk menyatukan peserta dan pihak berkaitan acara terbabit.
Namun, apa yang mengecewakannya apabila sebuah universiti didakwa melanggar tradisi dengan menganjurkan parti selepas itu di sebuah pusat hiburan, dengan membabitkan kelab, minuman dan berpesta.
Aisyah mendakwa aktiviti itu tidak selari dengan budaya Malaysia dan amalan Islam, selain tiada hormat apabila menjemput semua peserta, termasuk individu Muslim ke majlis terbabit yang dianggap sebagai tidak menghormati. – 30 November, 2023