80 peratus majikan terpilih sedia sertai Dasar Gaji Progresif

Dasar Gaji Progresif akan diperkenalkan untuk menaikkan siling gaji melalui panduan gaji permulaan mengikut jawatan dan kenaikan gaji tahunan yang akan mengurangkan jurang gaji

3:29 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kira-kira 80 peratus daripada majikan terpilih bersedia untuk menyertai Dasar Gaji Progresif sekiranya ia bersifat sukarela dan memberikan ruang kepada majikan untuk meneliti terlebih dahulu kemampuan dan prestasi kewangan syarikat sebelum mengambil bahagian.

Kementerian Ekonomi menyatakan jumlah peratusan tersebut diperoleh hasil daripada sesi libat urus bersama majikan terpilih.

“Penyertaan Dasar Gaji Progresif secara sukarela akan disokong oleh dua ciri lain iaitu bantuan insentif tunai dan kenaikan gaji yang terkait dengan produktiviti.

“Sokongan kerajaan melalui bantuan insentif akan membantu majikan membiayai kos untuk menyertai dasar ini selama 12 bulan supaya majikan dapat menyesuaikan pelan perniagaan dengan mengambil kira kenaikan kos buruh,” kata kementerian dalam jawapan yang disiarkan menerusi laman web Parlimen bertarikh 30 November.

Kementerian Ekonomi menjawab soalan Senator Datuk Wira Koh Nai Kwong yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan implikasi model Gaji Progresif bersifat sukarela yang akan dilaksanakan oleh kerajaan dapat menangani jurang gaji dan kos sara hidup yang tinggi dan apakah peratusan terkini majikan berdasarkan sektor yang telah menunjukkan kesediaan untuk melaksanakan model Gaji Progresif.

Kementerian itu berkata pelaksanaan Dasar Gaji Progresif secara sukarela adalah untuk memastikan ketersediaan dan kemampuan majikan untuk menerima pakai model gaji progresif.

“Ini untuk memberi ruang yang mencukupi untuk syarikat bersiap sedia dan melakukan penyesuaian tanpa tekanan kos yang terlalu besar, terutamanya kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” katanya.

Dasar Gaji Progresif akan diperkenalkan untuk menaikkan siling gaji melalui panduan gaji permulaan mengikut jawatan dan kenaikan gaji tahunan secara progresif yang akan mengurangkan jurang gaji.

Dasar tersebut mempunyai tiga ciri asas iaitu pelaksanaan secara sukarela, berteraskan insentif dan terkait dengan produktiviti.

Pelaksanaan Dasar Gaji Progresif akan dimulakan dengan projek rintis pada suku ketiga 2024 serta penilaian impak akan dijalankan untuk menilai keberkesanan dan ketersediaan dasar, sebelum Dasar Gaji Progresif dilaksanakan secara menyeluruh.

Kertas Putih Cadangan Dasar Gaji Progresif telah dibentangkan di Parlimen pada 30 November 2023. – 1 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Related