‘Tak habis bahas isu Coldplay, orang itu dah lama balik’ – PM

Anwar berkata, beliau agak resah dan keras terhadap permainan sentimen kaum serta agama yang berterusan, sehingga mencetuskan pergaduhan

7:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak yang berterusan memainkan isu sentimen agama dan kaum, sehingga mewujudkan pertelingkahan tidak berkesudahan.

Perdana Menteri berkata, daripada terus ‘bercakaran’, isu lebih utama perlu ditumpukan ialah usaha meningkatkan ekonomi, bidang kecerdasan buatan (AI) dan kejuruteraan, selain menarik pelaburan asing.

“Kadang-kadang saya agak resah dan keras terhadap permainan sentimen kaum dan agama, gaduh tak habis-habis.

“(Isu) Coldplay, berminggu-minggu bincang pasal itu, orang tu dah balik lama dan dah lupa Malaysia, kita tak habis lagi bahas bab itu dan juga hal lain, kemudian bincang mengenai orang ini anti Melayu dan Islam.

“Padahal tumpuan kita baiki akhlak, kukuhkan akidah dan amalan. (Fikir) bagaimana ekonomi, Al, teknologi tinggi menarik pelaburan ratusan bilion, keperluan jurutera, ini kita kena tumpukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi dialog Malaysia Madani bersama Perdana Menteri sempena Majlis Perasmian Penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini.

Anwar berkata, anak muda perlu dipersiapkan dengan perkembangan teknologi baharu, dalam soal transisi tenaga dan sebagainya, bukan diheret ke dalam perkara lapuk serta jumud.

“Jangan heret mereka untuk membincangkan mengenai hal lapuk, jumud, hingga timbul kebencian satu sama lain,” katanya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi dialog sempena Majlis Perasmian Penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di Stadium Nasional, Bukit Jalil hari ini menegur pihak yang berterusan memainkan isu sentimen agama dan kaum, sehingga mewujudkan pertelingkahan tidak berkesudahan. – Azim Rahman/Scoop, 10 Disember, 2023

Beliau berkata, negara ini mesti diselamatkan dengan menghentikan penyelewengan, rasuah dan hasutan untuk membenci antara satu sama lain.

“Adakah nak darjat negara diangkat, kalau nak jangan biar penghasut ini dapat tempat,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, soal bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kebangsaan mesti dikuasai semua.

“Kenapa nak bahas soal bahasa, bahasa Kebangsaan bahasa Malaysia, ia mesti dikuasai semua,

“Tapi kita nak maju dan nak anak muda ini, diterima dalam syarikat antarabangsa terkenal dan biar dia kuasai bahasa Inggeris dengan baik, dia nak belajar bahasa Tamil, Cina, bagi galakan, jangan halang.

“Namun syaratnya anak Malaysia mesti menguasai bahasa Melayu dengan baik, ini saya kata naratif baharu untuk Malaysia,” katanya. – 10 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related