Rombakan Kabinet: Tampil 5 menteri baharu, Sivakumar digugurkan

Senator baharu, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik Menteri Kewangan II, manakala Lim Hui Ying memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan

1:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, mengumumkan rombakan Kabinet yang dinanti-nantikan hari ini, dengan menamakan lima menteri baharu, manakala seorang digugurkan daripada senarai anggota Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan.

Lima timbalan menteri baru juga dinamakan, dengan dua digugurkan.

Senator baru dilantik, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan diumumkan Menteri Kewangan II, manakala Lim Hui Ying kini Timbalan Menteri Kewangan.

Bagaimanapun, Anwar akan terus menerajui portfolio kewangan.

Lim Hui Ying sebelum ini adalah Timbalan Menteri Pendidikan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pula diberi portfolio baharu, iaitu Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam) serta beliau juga akan menyelia hal ehwal Sabah dan Sarawak yang sebelum ini, di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Manakala, timbalan beliau bagi kementerian berkenaan adalah Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang terdahulu dilantik Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan portfolio Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah bersama timbalannya sedia ada, Datuk Rubiah Wang.

Sementara itu, portfolio Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam diterajui Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam adalah kementerian baharu, pecahan daripada Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Beliau akan menerajui kementerian itu bersama timbalannya, Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Fahmi Fadzil pula dilantik sebagai Menteri Komunikasi, iaitu kementerian baharu, pecahan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital.

Gobind Singh Deo pula dilantik Menteri Digital, kementerian baharu, pecahan daripada Kementerian Komunikasi dan Digital.

Menteri baharu lain, termasuk Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (Kesihatan) yang pernah memegang jawatan itu ketika pentadbiran kerajaan lalu; Datuk Seri Johari Abdul Ghani Perladangan dan Komoditi) dan Steven Sim yang mengambil alih Kementerian Sumber Manusia daripada V Sivakumar yang digugurkan.

Ahli Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mengambil alih portfolio Menteri Pertahanan, manakala Adly Zahari kekal sebagai timbalannya.

Datuk Armizan Mohd Ali yang sebelum ini Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, kini akan menerajui portfolio berkenaan.

Bekas Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bertukar ke Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang terdahulu memegang portfolio Menteri Luar, kini menerajui Kementerian Pengajian Tinggi.

Sementara itu, Timbalan Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh dan Datuk Siti Aminah Aching (Perladangan dan Komoditi) digugurkan daripada Kabinet. – 12 Disember 2023

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

FashionValet’s RM43.9 mil loss sparks public scrutiny over co-owner Vivy Yusof

Social media users demand explanation from Duck, Lilit founder on how Khazanah, PNB’s RM47 mil investment was managed

Related