Kes bunuh Zayn Rayyan: Polis teruskan siasatan rumah ke rumah

Polis juga sedang menunggu hasil keputusan DNA melibatkan 228 penduduk Apartmen Idaman

11:49 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis masih meneruskan pemeriksaan rumah ke rumah di Apartmen Idaman, Damansara Damai bagi mencari sebarang petunjuk baharu dalam siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6.

Ketika dihubungi Scoop, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, memasuki hari ketujuh siasatan, pihak polis giat melakukan pemeriksaan di setiap unit kediaman bagi membantu siasatan kes.

“Pihak polis masih lagi meneruskan pemeriksaan dari rumah ke rumah di setiap unit kediaman di sini (Apartmen Idaman).

“Yang mana kita belum periksa (rumah), kita teruskan sehingga semua unit rumah selesai diperiksa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Hussein berkata, pihak polis juga masih menunggu laporan ujian DNA melibatkan 228 penduduk yang diperiksa menerusi operasi tergempar pengambilan sampel DNA yang diadakan pada malam Ahad lalu.

“Kami juga masih menunggu keputusan ujian DNA daripada Jabatan Kimia dan keputusannya dijangka diperoleh dalam masa terdekat,” katanya.

Pada Ahad, polis memaklumkan seramai 228 individu telah diambil ujian DNA melibatkan pemeriksaan unit rumah dan premis perniagaan di sini.

Jumlah keseluruhan penduduk yang diperiksa adalah seramai 5,628 orang dan setakat ini ujian DNA yang telah diambil melibatkan 228 individu.

Apartmen Idaman mempunyai 18 blok yang menempatkan 2,464 unit kediaman. 

Scoop sebelum ini melaporkan Zayn Rayyan disedari hilang sejak pukul 12.30 tengah hari Selasa minggu lalu, sebelum ibunya membuat hebahan di media sosial dan laporan polis.

Usaha pencarian dijalankan polis dengan dibantu anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan anjing pengesan Unit K9, membabitkan kawasan belukar dan longkang berhampiran dalam radius kira-kira 300 meter.

Dia kemudian ditemukan tidak bernyawa sehari kemudian di kawasan anak sungai, berhampiran kediamannya.

Menurut kenyataan polis, sungai berkenaan terletak kira-kira 100 meter dari kawasan rumah kanak-kanak itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, pada sidang akhbar berkata Zayn Rayyan dipercayai dibunuh di tempat lain, bukan di lokasi mayatnya ditemukan.

Susulan penemuan itu, polis giat menjalankan siasatan terperinci bagi memburu suspek menerusi pelbagai kaedah.

Kes terbabit turut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – 13 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

[UPDATED] Moral responsibility: ministers with multiple pensions should choose only one, says Anwar

Government politicians receiving multiple pensions have a moral responsibility to only opt for one pension scheme, said Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Related