KUALA LUMPUR — Empat remaja lelaki berusia 16 tahun yang tersangkut di pokok selepas dihanyutkan arus banjir, berjaya diselamatkan oleh anggota Bomba dalam kejadian yang berlaku di Jalan Mengketil, Kampung Mengketil, Machang, Kelantan, petang tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan berkata, dalam kejadian pada 4.18 petang itu, kesemua remaja terbabit tersangkut di pokok dengan jarak 150 meter.
“Operasi menyelamatkan mangsa dilakukan dengan menggunakan tali dan mereka berjaya diselamatkan,’’ katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Mokhtar Che Mah selaku Komander Operasi bersama anggota Bomba daripada Balai Bomba Machang.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan hujan lebat dijangka berterusan di beberapa tempat di Kelantan dan Terengganu, sehingga esok.
Jelasnya, kawasan terbabit adalah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan manakala di Terengganu pula adalah di Besut, Setiu, Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu. – 14 Disember, 2023