KUALA LUMPUR — Pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut melibatkan seorang pelajar tingkatan 5, di Jalan Taman Jati, Ipoh adalah seorang anggota polis berpangkat pegawai kanan polis dari Kontinjen Kedah.
Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata, pemandu berusia 44 tahun itu telah ditahan dan akan direman esok.
Kes itu, katanya disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan juga dijalankan dari pelbagai sudut termasuk siasatan jenayah yang menjurus kepada kesalahan mematikan orang di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“PDRM tidak akan melindungi sesiapa termasuk pegawai sendiri sekiranya mempunyai bukti yang kukuh,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kes kemalangan berkenaan menjadi tular selepas seorang pelajar berusia 17 tahun meninggal dunia akibat dilanggar oleh sebuah kereta berhampiran SMK Jati, Meru hari ini.
Kejadian berlaku berhampiran pintu utama pagar sekolah itu ketika mangsa, yang menunggang motosikal ingin pulang ke rumah selepas habis waktu persekolahan.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, hasil bedah siasat ke atas mayat pelajar tersebut mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di bahagian dada dan abdomen akibat kemalangan jalan raya.
“Pada jam 12.40 tengah hari, polis Perak menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan jalan raya di Jalan Taman Jati melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan sebuah motosikal jenis Yamaha.
“Dalam kes ini, penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta itu tidak mengalami kecederaan,’’ katanya.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan ataupun boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam. – 15 Disember, 2023