KUALA LUMPUR – Kira-kira 375 cerucuk besi dibina untuk mengawal pergerakan tanah di lokasi kejadian tanah runtuh di Jalan Wawasan ¾, Taman Wawasan Puchong yang menjejaskan sembilan rumah, semalam.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, kerja pemasangan oleh kontraktor dilantik sudah bermula sejak jam 4 pagi tadi dan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu.
Menurutnya, buat masa ini, semua penghuni rumah terjejas diarahkan berpindah sementara kerja penyelenggaraan selesai dan laporan penuh daripada pihak berkaitan diperoleh.
“Untuk proses mitigasi (langkah awal) Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan pihak Pejabat Daerah adalah memasang cerucuk besi di kawasan runtuhan.
“Mengikut kontraktor, proses mitigasi membabitkan kawasan berkeluasan 150 meter yang mungkin menggunakan 375 cerucuk besi untuk mengehadkan pergerakan tanah.
“Tindakan lain dari jabatan berkaitan seperti Air Selangor menutup bekalan air sementara kerana paip di bawah tanah pecah akibat pergerakan tanah,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.
Mengulas lanjut, Anbalagan berkata, selain memasang cerucuk besi, pemasangan kain kanvas juga akan dilakukan di kawasan runtuhan bagi mengelakkan air meresap ke dalam tanah.
“Seperti sedia maklum cuaca pada setiap petang akan hujan, maka pemasangan kain kanvas ini sebagai langkah waspada untuk elak berlaku runtuhan lagi,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini kawasan terjejas hanya membabitkan deretan sembilan unit rumah yang terletak di hadapan tanah runtuh itu.
Bagaimanapun, pihaknya perlu menunggu laporan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) sama ada penghuni rumah boleh kembali ke kediaman masing-masing atau terdapat keperluan untuk memindahkan penghuni lain.
Beliau berkata, polis akan memastikan keselamatan rumah yang dikosongkan sepanjang kerja penyelenggaraan dijalankan bagi mengelak berlaku kejadian jenayah.
“Jika ada pemilik rumah mahu mengambil dokumen peribadi dan sebagainya, mereka perlu berhubung dengan pegawai polis yang berada di pos kawalan lokasi kejadian terlebih dahulu.
“Penduduk berhampiran juga dilarang berada di kawasan runtuhan bagi mengelak perkara tidak diingini dan mengganggu kerja-kerja baik pulih yang dijalankan,” katanya.
Semalam, media melaporkan penghuni sembilan unit rumah di Jalan Wawasan 3/9 dan ¾ Puchong diminta berpindah akibat kejadian tanah runtuh yang berpunca daripada hujan lebat.
Anbalagan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 petang.
Menurutnya, terdapat empat kenderaan tertimbus iaitu Honda Jazz, Nissan Skyline, Honda City dan Naza Citra. – 17 Disember, 2023