PUCHONG – Kerja fasa pertama pemasangan 375 cerucuk besi di kawasan tanah runtuh di Taman Wawasan di sini, dijangka selesai Ahad ini.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, setakat semalam, sejumlah 274 cerucuk atau 73 peratus kerja penanaman cerucuk besi bagi fasa satu sudah dijalankan.
Katanya, pada masa sama, kerja penanaman cerucuk besi fasa kedua turut dimulakan dengan sejumlah 115 cerucuk atau 28.7 peratus daripada 400 cerucuk sudah ditanam.

“Pemasangan cerucuk besi fasa satu dijangka selesai sepenuhnya pada akhir bulan ini.
“Manakala untuk fasa dua dan langkah seterusnya perlukan kajian lanjut serta ulasan daripada agensi berkaitan yang memantau keadaan dari semasa ke semasa,” katanya kepada Scoop hari ini.
Beliau berkata, buat masa ini, pihaknya belum merancang untuk membuat sesi townhall bersama penduduk.
“Untuk sesi townhall, perkara ini tiada dalam perancangan MBSJ lagi buat masa ini. Kita masih menunggu laporan teknikal dan hasil kajian lanjut pihak berkaitan untuk menentukan sebarang tindakan.
“Ini termasuk langkah seterusnya selepas selesai fasa pertama pemasangan cerucuk, pemantaun rapi perlu dilakukan bagi melihat keadaan keselamatan bangunan, pergerakan tanah dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di lokasi kejadian tanah runtuh mendapati kerja pemasangan cerucuk masih berjalan, selain kerja menambak batu di hadapan deretan rumah terjejas dilakukan.

Difahamkan, tambakan batu dibuat di hadapan rumah bagi membolehkan satu laluan disediakan untuk membawa keluar beberapa kenderaan penduduk yang masih berada di pekarangan rumah.
Sebelum ini, Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, laporan awal berhubung tanah runtuh di Jalan Wawasan mendapati keretakan longkang monsun menjadi punca insiden yang menjejaskan sembilan rumah di situ.
Beliau berkata, keretakan longkang monsun yang terletak di atas tebing menyebabkan air mengalir ke bawah melalui retakan, seterusnya mengakibatkan tanah menjadi mendap dan runtuhan cerun berlaku.
Tanah runtuh yang berlaku pada 16 Disember lalu itu, menyebabkan 29 penghuni di sembilan rumah teres di situ, diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan lokasi bencana terbabit berhampiran kediaman mereka. – 28 Disember, 2023