KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki bekerjasama untuk memburukkan namanya.
Sambil menafikan beliau tidak terlibat dengan tuduhan rasuah dan penggubahan wang haram yang sedang disiasat, Daim yang dilantik sebagai Menteri Kewangan ketika tempoh pertama Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, menyeru Anwar dan Azam untuk menghormati kedaulatan undang-undang.
“Saya menafikan terlibat dalam sebarang salah laku oleh saya atau keluarga saya. Siasatan ini adalah satu penganiayaan politik terhadap kami.
“Sebagai bekas menteri kanan dalam kerajaan dan sebagai menghormati proses siasatan, saya telah berdiam diri sehingga kini. Bagaimanapun Perdana Menteri dan SPRM tidak menunjukkan rasa hormat terhadap proses ini dengan berterusan mengeluarkan kenyataan.
“Saya tiada pilihan lain selain memberi kenyataan balas untuk menjaga reputasi dan nama saya,” katanya.
Bekas orang kanan Dr Mahathir itu menambah yang beliau sedang berbincang dengan peguam dan akan mengambil ‘tindakan sewajarnya’ pada masa yang sesuai.
Daim, 85, mendakwa ramai tahu yang Anwar melihat dirinya sebagai ‘ancaman politik’ dan seorang ‘musuh yang perlu diburukkan namanya’.
“Kenyataan terbaharu mengenai saya pada 22 Disember (berkata) ‘ia adalah rahsia terbuka. Seseorang yang mengaut kekayaan yang begitu banyak’ adalah satu bentuk sindiran yang tidak berasas yang saya melakukan kesalahan yang tidak dinyatakan. Ini cukup menunjukkan kebenciannya terhadap saya.
“Ia juga amat tidak wajar dan penyalahgunaan kuasa bagi seorang Perdana Menteri untuk campur tangan atau mempengaruhi siasatan yang sedang dijalankan dengan membuat sindiran kesalahan secara terang-terang di khalayak ramai,” kata Daim.
Beliau menegaskan yang dirinya tidak dimaklumkan tentang kesalahan yang didakwa dilakukannya walaupun berkali-kali membuat pertanyaan bertulis kepada SPRM.
Daim berkata beliau menawarkan dirinya untuk bekerjasama dengan SPRM dan kerap berhubung dengan agensi berkenaan menerusi peguamnya.
“Saya boleh dedahkan bahawa kami (Daim dan keluarga) telah menerima surat yang ditandatangani oleh Azam yang tidak menyatakan kesalahan yang kami lakukan.
“Namun, terdapat usaha terancang untuk memburukkan nama saya dengan mengeluarkan maklumat salah dan sindiran tidak berasas terhadap saya.
“Oleh itu, adalah sesuatu yang tidak benar bagi ‘sumber’ SPRM bahawa saya tidak membuat pendedahan yang betul mengenai butiran kewangan yang dituntut oleh SPRM. Saya mengulangi bahawa semua yang diminta secara bertulis oleh SPRM telah didedahkan dan mengikut undang-undang.”
Mengenai ‘sumber’ SPRM yang bercakap kepada media, Daim menyatakan yang Azam harus bertanggungjawab ke atas maklumat yang bocor.
“Sebagai ketua organisasi, (Azam) harus dipertanggungjawabkan atas kebocoran maklumat melalui sumber kepada pemberita yang berkaitan dengan siasatan ini. ‘Sumber-sumber’ ini hanya boleh datang daripada dalam SPRM yang bertujuan untuk mendedahkan butiran penyiasatan tersebut.
“Tujuan kebocoran maklumat ini adalah untuk mewajarkan tindakan keras terhadap diri saya untuk memberikan gambaran yang saya adalah seorang yang makan rasuah dan pesalah. Tanpa mengetahui apa kesalahan saya, saya tidak boleh mempertahankan diri saya,”
Pada 22 Disember, Anwar berkata pencegah rasuah harus dibenarkan untuk menjalankan siasatan ke atas ’rahsia terbuka’ mengenai rasuah kerana pemimpin kerajaan kelihatan seperti melindungi kesalahan besar.
Perdana Menteri berkata sedemikian apabila menjawab soalah pemberita tentang tindakan SPRM menyita Menara Ilham pada 18 Disember.
Menara itu adalah sebuah bangunan komersil yang dimiliki oleh Daim, berhubung dakwaan penglibatannya dalam kes membabitkan RM2.3 bilion dana awam pada 1990-an.
Pada 24 Disember, Azam memberitahu Scoop yang siasatan SPRM terhadap Daim melibatkan penelitian aset domestik dan antarabangsa dirinya serta perniagaannya.
Siasatan itu juga memberi tumpuan terhadap pemerolehan aset dan perniagaannya seperti hartanah, hotel dan institusi kewangan di luar negara.
Semasa Daim menjadi Menteri Kewangan dalam pentadbiran Dr Mahathir, kerajaan menyelia pengambilalihan saham syarikat tersenarai awam Renong Bhd.
Pada November 1997, UEM, firma infrastruktur terbesar Malaysia, membeli sebanyak 33% kepentingan dalam Renong dengan harga RM2.3 bilion, yang membawa kepada nilai syarikat itu menjunam apabila pelabur menjual saham kedua-dua firma itu.
Ini berlaku semasa krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan digelar sebagai penyelamat bagi tokoh perniagaan tertentu yang berkait rapat dengan kerajaan pada masa itu.
Sejak meninggalkan perkhidmat awam, Daim mengakui bahawa pelbagai laporan mengenai dakwaan rasuah telah dibuat terhadapnya dan SPRM telah menyiasatnya setiap kali. Beliau menegaskan bahawa dirinya tidak pernah didakwa. – 28 Disember, 2023