Isu kenderaan asing beli RON95, ‘2024 tahun penguatkuasaan’: Armizan

Katanya, sepanjang tahun depan, KPDN juga akan mempergiat penguatkuasaan menyeluruh membabitkan kesalahan lain di bawah tanggungjawab kementerian itu

5:02 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan penguatkuasaan secara lebih mantap berhubung isu pembelian RON95 dalam kalangan kenderaan asing di stesen minyak Malaysia, tahun depan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, 2024 akan menjadi ‘tahun penguatkuasaan’ bagi mengatasi isu berkenaan.

“2024 Tahun Penguatkuasaan.

“Ya, penguatkuasaan ini termasuk dalam isu pembelian minyak bersubsidi dan jika pengendali stesen minyak buat kesalahan menjual RON95 (kepada kenderaan asing),” katanya kepada Scoop.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas apakah tindakan akan diambil KPDN bagi mengatasi isu masih ada individu berani membeli RON95 membabitkan kenderaan asing.

Tindakan pemilik atau pemandu kenderaan asing terbabit bertentangan dengan undang-undang ditetapkan kerajaan negara ini yang melarang mereka, membeli petrol jenis itu di stesen minyak di negara ini, memandangkan ia mempunyai subsidi dan hanya dibenarkan untuk kenderaan dengan nombor pendaftaran di Malaysia.

Armizan berkata, isu berkaitan RON95 boleh ditangani apabila pelaksanaan dasar subsidi bersasar untuk jenis bahan bakar kenderaan itu dilaksanakan kelak.

Katanya, bantuan tunai subsidi bersasar akan diberikan secara langsung kepada rakyat.

Beliau berkata, teras kepada perkara itu adalah Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

“Rakyat perlu mendaftar dan membuat verifikasi profail individu dan isi rumah dalam sistem PADU yang akan dilancarkan Perdana Menteri bermula 2 Januari 2024,” katanya.

Datuk Armizan Mohd Ali berkata, isu berkaitan RON95 boleh ditangani apabila pelaksanaan dasar subsidi bersasar untuk jenis bahan bakar kenderaan itu dilaksanakan kelak. – Gambar Facebook Armizan Mohd Ali, 31 Disember, 2023

Isu membabitkan tindakan warga asing membeli RON95 di negara ini bukan perkara baharu, malah tidak berkesudahan apabila sering dilaporkan media serta viral di media sosial.

Situasi itu beberapa kali turut mencetuskan pergaduhan antara rakyat Malaysia dengan warga asing terbabit kerana tidak berpuas hati apabila golongan berkenaan turut menikmati subsidi daripada kerajaan khas untuk pemilik kenderaan tempatan.

Terbaru, tular di media sosial perkongsian seorang pengguna memaparkan seorang lelaki rakyat Malaysia, bengang dan memarahi pemandu yang menggunakan kenderaan dengan nombor pendaftaran asing kerana mengisi RON95.

Bagaimanapun, pemandu kenderaan asing itu menjawab apa diperkatakan lelaki terbabit, membuatkan rakyat Malaysia berkenaan lebih berang.

Kerajaan Malaysia melarang semua kenderaan termasuk motosikal yang bernombor pendaftaran asing membeli petrol jenis RON95.

Sebaliknya, kenderaan asing dibenarkan membeli petrol jenis RON97 tanpa had, tetapi bagi diesel, pembelian dibenarkan sekali sehari dengan had 20 liter sahaja di mana-mana stesen minyak dalam jarak 25 kilometer daripada pintu sempadan Malaysia-Singapura. – 31 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

A man with fire in his belly: Jagdeep remembers his father Karpal’s strength in the face of disability

Despite paralysis from a tragic accident, the DAP stalwart remained a fearless fighter—his legacy now upheld by his son

Related