KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Orang Asli dalam lingkungan usia 50-an ditemukan rentung di dalam sebuah kenderaan dekat Batu 23, Jalan Pahang di Tapah, Perak, lewat malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 10.04 malam tadi.
Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian mendapati kereta jenis Proton Saga itu musnah terbakar 50 peratus dan terdapat seorang lelaki Orang Asli rentung di dalamnya.
“Semasa kebakaran itu, didapati kereta terbabit diparkir di lokasi kejadian dan mangsa berada di bahagian tempat duduk belakang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sabarodzi berkata, kebakaran terbabit berjaya dipadam oleh orang awam sebelum bomba tiba di lokasi kejadian.
“Anggota bertugas kemudian mengambil maklumat serta mengeluarkan mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis.
“Operasi tersebut ditamatkan pada jam 11.36 malam tadi,” katanya. – 2 Januari, 2024