Pesawat Japan Airlines terbakar, 367 penumpang diselamatkan: NHK

Imej dipaparkan NHK menunjukkan, pesawat itu sedang bergerak laju di sepanjang landasan sebelum ia meletup dalam ledakan api besar

6:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seramai 367 penumpang Airbus milik Japan Airlines (JAL) berdepan detik cemas apabila pesawat dinaiki mereka itu terbakar selepas bertembung dengan sebuah pesawat pengawal pantai di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo hari ini.

Imej dipaparkan NHK menunjukkan, pesawat itu sedang bergerak laju di sepanjang landasan sebelum ia meletup dalam ledakan api besar.

Rakaman televisyen menunjukkan api keluar dari tingkap Airbus dan bahagian hadapannya berada di atas landasan ketika pekerja cuba memadamkan kebakaran.

Menurut laporan awal, penumpang dikeluarkan manakala tidak jelas berapa ramai anak kapal yang berada di dalam pesawat.

Perlanggaran itu juga menyebabkan serpihan terbakar di landasan.

JAL memberitahu NHK bahawa penerbangan Pesawat 516 tiba di Tokyo dari Lapangan Terbang New Chitose di Hokkaido.

Lebih 70 jentera bomba digegaskan ke tempat kejadian.

Sementara itu, AFP melaporkan, seorang pegawai pengawal pantai di Lapangan Terbang Haneda berkata, pihaknya sedang memeriksa butiran dan masih tidak jelas sama ada terdapat perlanggaran.

Keadaan pesawat Japan Airlines yang terbakar di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo hari ini. – Gambar Reuters via Bernama, 2 Januari, 2024

“Tetapi apa yang pasti pesawat kami terbabit dalam insiden berkenaan,” katanya.

Insiden itu adalah berita buruk kedua untuk Jepun pada tahun ini, apabila semalam, berlaku gempa bumi dengan kekuatan 7.6 magnitud di yang melanda Ishikawa, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 48 orang setakat ini.

Jepun merekodkan kemalangan penerbangan terburuk pada tahun 1985, apabila jet jumbo JAL yang dalam perjalanan dari Tokyo ke Osaka terhempas di rantau Gunma, mengakibatkan 520 penumpang dan anak kapal terbunuh. – 2 Januari 2024

Topics

 

Hangat

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Related