Nilai kontrak syarikat bumiputera bagi projek ECRL akan terus meningkat: MRL

Setakat 30 November 2023, nilai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan ECRL berjumlah RM13.64 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat tempatan

11:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menjangka nilai kontrak syarikat bumiputera bagi pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan terus meningkat menerusi kerja-kerja pembinaan landasan tolok duaan dari Stesen ECRL Pelabuhan Klang (Jalan Kastam) ke dermaga Westports dan Northport.

MRL berkata usaha untuk memperkasa penglibatan bumiputera dalam projek ECRL sentiasa menjadi keutamaan walaupun perkara ini tidak termaktub dalam perjanjian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) yang hanya mensyaratkan penglibatan syarikat tempatan.

“Pelbagai inisiatif telah dibuat bagi mencapai objektif seperti yang telah dinyatakan. Terkini, inisiatif tambahan yang sedang diambil oleh China Communications Construction Company Ltd (CCCC) adalah kerjasama dengan kerajaan negeri terlibat untuk penglibatan kontraktor bumiputera kategori G1 dan G2 bagi skop kerja bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

MRL berkata demikian bagi mengulas laporan data penglibatan kontraktor bumiputera bagi pembinaan projek ECRL yang disiarkan portal berita baru-baru ini.

CCCC sedang dalam proses menyenarai pendek syarikat kontraktor bumiputera G1 dan G2 yang telah disyorkan oleh kerajaan negeri terlibat dan panggilan penyertaan tender akan dibuat dalam masa terdekat, katanya.

Setakat 30 November 2023, nilai kontrak bagi kerja-kerja pembinaan ECRL berjumlah RM13.64 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat tempatan dan jumlah ini melepasi sasaran RM10.8 bilion yang telah dianggarkan bagi pelaksanaan projek dari 2017 hingga 2026, kata MRL.

“Jumlah ini merangkumi RM1.20 bilion bagi kerja-kerja kontrak projek ECRL di Kelantan, Terengganu (RM6.18 bilion), Pahang (RM5.62 bilion) dan Selangor sebanyak RM0.64 bilion, melibatkan sejumlah 2,801 syarikat tempatan secara keseluruhan.

“Daripada jumlah ini, kami ingin menjelaskan bahawa nilai kontrak yang telah dianugerahkan kepada pihak kontraktor, perunding dan pembekal bumiputera setakat 30 November 2023 sebanyak RM2.66 bilion atau 76.07 peratus daripada sasaran RM3.50 bilion,” katanya.

Menurut MRL, daripada RM2.66 bilion, sebanyak RM1.69 bilion telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor bumiputera, RM0.28 bilion kepada syarikat perunding bumiputera dan RM0.69 bilion kepada syarikat pembekal bumiputera.

“Jumlah RM1.69 bilion yang telah dianugerahkan kepada syarikat kontraktor bumiputera melibatkan 172 pakej kontrak (28 di Kelantan, 79 di Terengganu, 50 di Pahang dan 15 di Selangor) kepada 129 syarikat kontraktor bumiputera bagi kerja-kerja projek ECRL di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor, antaranya merangkumi kerja-kerja tanah (At-Grade), kerja-kerja jambatan dan pembinaan stesen,” katanya.

MRL menjelaskan, MRL dan CCCC telah bekerjasama dengan kerajaan negeri negeri terlibat iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor untuk meningkatkan lagi penglibatan kontraktor bumiputera dalam projek ECRL sejak 2017 sehingga kini. – 4 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Interfaith Council concerned over proposed guidelines on Muslim participation in non-Muslim events

It said the guidelines mooted by the government, could have implications for religious understanding, tolerance, and acceptance among all Malaysians

Related