KUALA LUMPUR – PAS menegaskan pertukaran kerajaan di luar Pilihan Raya Umum (PRU) adalah dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bukan sahaja dibenarkan di negara ini, tetapi semua negara lain dengan syarat pihak yang mencabar kedudukan kerajaan sedia ada dapat membuktikan sokongan majoriti diterimanya sama ada di Parlimen atau melalui saluran lain yang dibenarkan undang-undang.
“Perlembagaan adalah sangat jelas dalam hal ini dan dimaklumi semua bahawa syarat sokongan majoriti ini menjadi asas pembentukan sebuah kerajaan secara sah sama ada susulan PRU atau pada bila-bila masa lain.
“Ia juga merupakan syarat asasi bagi memperoleh perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk melantik menurut budi bicara Baginda seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seperti diperuntukkan dalam Perkara 43(2)(a) Perlembagaan,” katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar satu Rang Undang-Undang (RUU) khusus digubal bagi membolehkan kerajaan yang dibentuk selepas PRU mentadbir dan bertahan hingga akhir penggalnya.
Katanya, dengan undang-undang itu jika diperkenalkan, kerajaan akan dapat memfokus mentadbir negara, sekali gus mengelak sebarang ganggu gugat politik yang tidak berkesudahan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, cadangan Zahid mengenai RUU tersebut sebagai kenyataan orang terdesak sehingga ke tahap tidak masuk akal.
“Adakah Zahid tidak yakin dengan dakwaan (cukup majoriti) atau apakah beliau begitu terdesak untuk kekal berkuasa sehingga bersedia untuk membelakangkan Perlembagaan dan demokrasi sama seperti yang dilakukannya bagi mempertahankan kedudukan sebagai Presiden Umno walaupun berlawanan dengan keputusan majoriti ahli dan akar umbi parti tersebut?
“Setelah berdepan konflik berterusan dalam Umno susulan tindakan itu, apakah Zahid kini berasa layak untuk mengheret negara ke dalam krisis sama dengan berselindung di sebalik kata-kata hikmat “kepentingan rakyat dan negara” pula selepas menggunakan helah keramat “kepentingan ahli dan parti” sebelum ini?” katanya.
Menurutnya, seseorang Perdana Menteri yang dilantik selepas PRU atau bila-bila masa lain tetapi kemudiannya hilang kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat secara semula jadi sudah kehilangan keabsahan jawatannya itu.
Susulan itu, katanya, Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan bersama seluruh anggota Jemaah Menterinya melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan dalam Perkara 43(4) Perlembagaan.
“Maka dalam keadaan itu, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menggantikan Perdana Menteri tersebut dengan pihak yang terbukti mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.
“PAS percaya peruntukan Perlembagaan berhubung perkara ini dan amalan berkaitnya di serata dunia adalah selari dengan idea demokrasi itu sendiri, iaitu sesebuah kerajaan hanya akan dianggap sah selagi ia menikmati sokongan majoriti,” katanya.
Justeru, beliau berkata, sebarang usaha untuk menyekat atau memandulkan prinsip teras itu, sama ada melalui undang-undang baharu seperti yang dicadangkan atau tindakan-tindakan tidak demokratik lain adalah tertolak serta terbatal secara muktamad.
Sebelum ini, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang akan menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari ini bertitah kerajaan Madani perlu diberikan peluang lebih lama untuk mentadbir negara ini.
Titahnya, tidak mungkin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu membuat perubahan mendadak dalam tempoh setahun. – 14 Januari, 2024