KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara hari ini.
Berangkat sama Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kerabat-kerabat diraja Pahang.
Majlis itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Majlis bermula pada jam 3 petang dihadiri 2,500 tetamu termasuk barisan Kabinet, perwakilan-perwakilan asing ke Malaysia dan barisan tertinggi kepimpinan kerajaan.

Turut hadir bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Terdahulu Seri Paduka berdua berkenan meluangkan masa beramah mesra dan mengambil gambar bersama tetamu di acara itu yang dihiburkan dengan persembahan orkestra oleh Kolej Yayasan Saad, Melaka.
Acara lain yang akan berlangsung sempena tamat tempoh pemerintahan Seri Paduka termasuk Majlis Jamuan Negara yang dijadualkan pada 27 Januari ini.
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar telah dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari ini. – 20 Januari, 2024