KUALA LUMPUR – Batu Caves kini meriah apabila puluhan ribu penganut dan pelancong Hindu berpusu-pusu ke situ empat hari menjelang sambutan Thaipusam yang diraikan saban tahun.
Semasa tinjauan Scoop ke kawasan itu, vendor dan perniagaan beroperasi di kawasan dipenuhi pengunjung yang dianggarkan ribuan orang.

Penjual kalungan bunga, Parbathy Ramiah berkata, jumlah pengunjung tahun ini lebih ramai berbanding kehadiran pada tahun lepas.
“Pada tahun ini, penganut bukan sahaja dari Kuala Lumpur dan Selangor. Terdapat juga penganut dari Pulau Pinang, Johor dan Terengganu yang tertarik ke sini untuk merasai sendiri sambutan Thaipusam,” katanya kepada Scoop.
Thaipusam adalah perayaan Hindu disambut masyarakat Tamil sebagai memperingati Dewa Murugan, dewa perang dan kemenangan Hindu yang juga dikenali sebagai Kartikeya atau Subramanya.
Thaipusam biasanya jatuh pada bulan Thai dalam kalendar Tamil yang biasanya Januari atau Februari.
Kemuncak utama Thaipusam adalah acara membawa ‘kavadi’, iaitu satu bentuk ‘penebusan dosa’ atau persembahan kepada Dewa Murugan. Penganut yang mengambil bahagian dalam perayaan ini sering menjalani tempoh puasa dan penyucian sebelum perayaan utama.
Semasa sidang media di Batu Caves pada 19 Januari lalu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menganggarkan jumlah penganut dan pelancong untuk meraikan Thaipusam pada tahun ini di situ adalah sekitar satu juta.
Parbathy, 55, yang membuka kedainya setiap hari pada jam 4 pagi, berkongsi bahawa orang ramai berbaris untuk memasuki kawasan suci itu seawal jam 3 pagi.
Sebagai pemilik perniagaan, dia meluahkan syukur atas sambutan selama seminggu itu kerana menawarkan lebih banyak peluang perniagaan, selain membolehkannya berpotensi meraih RM20,000 untuk bulan berkenaan.

“Saya biasanya memperoleh kira-kira RM15,000 pada bulan biasa dan RM18,000 semasa Deepavali,” katanya.
Sementara itu, Yoges Hanes Raj, 32, turut mengatakan susulan orang ramai akan datang ke situ, dia akan memastikan produknya sentiasa mempunyai stok mencukupi.
Walaupun terdapat persaingan dalam kalangan perniagaan, dia tetap berdedikasi bagi memenuhi permintaan pengunjung yang datang awal untuk berdoa dan menunaikan hajat mereka menjelang Thaipusam yang diraikan 25 Januari pada tahun ini.
Seorang penjual berusia 21 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Anand berkata, dengan jangkaan orang ramai akan memenuhi kawasan itu, mereka akan mempunyai kira-kira 10 pekerja untuk membantu urusan perniagaan di dua kedai mereka di kuil Batu Caves.
Kedai manisan diusahakanya yang beroperasi dari jam 7 pagi hingga tengah malam itu, memberi perkhidmatan kepada kira-kira 500 pelanggan setiap hari, sekali gus menjana keuntungan harian RM5,000.
Pelancong Indonesia, Nike Ziswaningsih meluahkan keterujaannya untuk menyaksikan suasana Thaipusam.
“Ini adalah perjalanan saya bersama beberapa rakan dan kami mahu merakamkan pengalaman di Batu Caves, Bukit Bintang, dan Menara Berkembar Petronas.
“Sangat mengujakan apabila melihat orang ramai meraikannya di sini. Lain kali, saya ingin datang ke sini lagi bersama keluarga saya,” katanya. – 21 Januari 2024