KUALA LUMPUR – Veteran Umno menyelar kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya Melayu akan lenyap 10 tahun lagi, yang dilihat bermotif politik dendam dan cuba menakutkan orang Melayu.
Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, menjadi sesuatu yang aneh apabila negarawan itu mempersoal perpecahan orang Melayu setelah kaum majoriti dalam negara ini dipecahbelahkan oleh beliau sendiri.
“Dia sekarang bercakap tentang perpaduan Melayu setelah dia yang menjadi penyebab Melayu tidak bersatu.
“Dia yang mahu orang belajar dari sejarah tetapi dia tidak pernah belajar dari sejarah. Dia hanya belajar sejarah Si Kitol sebagai pengkhianat, sebab itu dia menjadi pengkhianat,” katanya kepada Scoop hari ini.

Semalam, bekas perdana menteri selama 22 tahun dan 22 bulan itu mendakwa Melayu akan lenyap dalam tempoh 10 tahun akan datang jika mereka tidak bersatu sekarang.
Beliau juga mendakwa bahawa Melayu juga akan diperhambakan jika tiada sesiapa yang prihatin tentang nasib bangsa itu selain beranggapan warga Bangladesh yang datang ke negara ini lebih kuat bekerja manakala orang Melayu menolak pekerjaan.
Selain itu Mustapha berkata, kenyataan Dr Mahathir itu juga tidak lebih sekadar cubaan melarikan diri daripada isu penyiasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kroni dan juga anak-anaknya.
“Dia sedar dia semakin tertekan dan tidak relevan. Jadi supaya dia dilihat relevan maka dia membangkitkan cerita Melayu hilang kuasa,” katanya.
Tambah beliau, Melayu sebagai satu bangsa tidak mungkin akan hilang di bumi ini.
“Melayu tidak akan hilang di dunia selagi ada bangsa Melayu yang mengaku mereka orang Melayu.
“Dr Mahathir tidak belajar sejarah. Melayu ada di seluruh Nusantara. Melayu itu bangsa besar. Melayu itu Bugis. Melayu itu Jawa. Melayu itu Bajau. Bahkan Arab dan Pakistan pun ada Melayu. Cuma Dr Mahathir yang berbeza. Dia asal India dan bukan Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, orang Melayu yang rajin bekerja sebenarnya pun ramai, termasuk yang melakukan kerja di kampung.

“Nak kata warga asing yang datang ke negara ini lebih rajin, tidak pilih kerja, ada sahaja yang malas dan bukan semua pekerja asing yang datang itu boleh buat semua kerja.
“Tidak semua orang Melayu bersikap begitu (tolak pekerjaan), orang Melayu yang rajin pun ramai. Kena lihat di kampung-kampung pun ramai sahaja Melayu yang rajin, bekerja di sawah, bergelumang lumpur, mereka buat sahaja walau kerja berat.
“Mungkin sebagai orang tua, Dr Mahathir melihat kalau kita malas kita akan hilang kuasa, jadi kenyataan itu agak menyentuh orang Melayu, tidak perlu ambil negatif sebaliknya kita positifkan kenyataannya itu bermakna orang Melayu, kena rajin dan berusaha bersungguh-sungguh,” katanya.
Sementara itu penganalisis politik, Prof Azmi Hassan berkata, kenyataan Dr Mahathir itu seolah-olah menyalahkan diri sendiri atau pun menyalahkan Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, ini kerana PN berada di luar kerajaan jadi sukar untuk membantu orang Melayu.
“Dalam keadaan sekarang sukar untuk orang Melayu, Sabah dan Sarawak menyokong PN,” katanya. – 22 Januari, 2024