Setia dengan Bersatu tapi sokong Anwar: Zulkafperi

Kenyataannya itu memberi bayangan tidak akan tunduk dengan ugutan dan tetap mempertahankan kerusi dimenanginya

9:23 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menegaskan dirinya kekal setia bersama Bersatu meskipun mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Kenyataannya itu sekaligus memberi bayangan tidak akan tunduk dengan ugutan dan tetap mempertahankan kerusi dimenanginya biarpun kini menjadi sasaran utama parti untuk dikosongkan bagi memberi laluan pilihan raya kecil (PRK).

“Saya masih ahli Bersatu dan setia dengan parti Bersatu,” katanya ringkas kepada Scoop hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Mohd Rafiq Abdullah bahawa kerusi Parlimen Tanjong Karang kini sasaran utama untuk dikosongkan bagi memberi laluan PRK diadakan, susulan tindakan wakil rakyatnya mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri.

Rafiq berkata, tindakan itu selaras keputusan dibuat melalui mesyuarat khas MPT parti untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang khianat.

Menurutnya, Zulkafperi ‘mungkir janji’ apabila membuat akuan berkanun (SD) menyokong Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tidak akan mengkhianati parti selepas lima Ahli Parlimen mengalihkan sokongan mereka.

Sementara itu, ditanya sama ada tindakan undang-undang yang mahu diambil parti sekadar bertujuan mahu menakut-nakutkan dan mengugut ahlinya, Zulkafperi tidak menolak kemungkinan berkenaan.

“Itu mungkin antara sebabnya,” katanya.

Zulkafperi menjadi Ahli Parlimen Bersatu keenam yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Anwar.

Lima yang lain adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Kelmarin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan Bersatu akan mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang bertindak mengkhianati parti.

Katanya, parti juga bersetuju meminda Perlembagaan bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang pada masa depan.

Susulan itu, Syed Abu Hussin ‘menegur’ Hamzah supaya lebih profesional tanpa perlu membuat ugutan kepada ahli parti.

Sambil menegaskan beliau bersedia untuk menerima sebarang tindakan undang-undang oleh parti, Syed Abu Hussin bagaimanapun tidak melihat tindakan lanjut oleh parti itu akan memberi sebarang makna. – 30 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Vehicles plough into pedestrians in vicious hit-and-run attack near Old Klang Road

Two individuals left injured as sedan and pickup truck deliberately ram into group, police probe attempted murder

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related