KUALA LUMPUR — Bekas pemilik sebuah syarikat yang mengguna dan mengemukakan tuntutan matan palsu berjumlah RM1.2 juta kepada sebuah yayasan, telah ditahan di Johor, petang tadi.
Suspek yang berusia 50-an itu bekerja sebagai jurukimpal dan berdasarkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dia melakukan kesalahan itu pada 2022.
Sumber SPRM memaklumkan, syarikat suspek merupakan rakan strategik kepada yayasan tersebut bagi membekalkan pakej perniagaan produk dan perkhidmatan bagi skim pembiayaan.
“Suspek telah menggunakan dan mengemukakan tuntutan mengandungi butir matan palsu kepada yayasan tersebut berkaitan invois pembekalan produk kepada peserta yang berdaftar di bawah skim pembiayaan berjumlah RM1.2 juta sedangkan pembekalan tersebut tidak dilaksanakan,’’ katanya.
Sementara itu, pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan suspek dan permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 9 pagi esok.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009. – 31 Januari, 2024