Tiada langsung ‘perang’, hubungan Muhyiddin, Hadi sangat baik

Syed Muhammad Imran menafikan laporan sebuah portal berita yang mendakwa hubungan kedua-dua pemimpin kanan itu sedang bergolak

5:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Dakwaan hubungan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang sedang bergolak disebabkan isu calon Perdana Menteri bagi Perikatan Nasional (PN) tidak benar sama sekali.

Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia, Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz yang menyangkal dakwaan tersebut mengesahkan hubungan kedua-duanya kekal baik.

“Saya ingin beritahu secara rasmi tidak ada langsung perang antara Muhyiddin dan Hadi di mana mereka ini kekal sepakat dalam PN, yang mana PAS menentukan dalam Majlis Syura.

“Hubungan mereka sangat baik dan mereka akan menjadi pembangkang lebih baik lepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa kedua-dua pemimpin tertinggi itu sedang berbalah mengenai isu calon Perdana Menteri bagi gabungan itu.

Portal tersebut yang memetik sumber sebagai berkata, hubungan tersebut menjadi dingin selepas Muhyiddin membuat pusingan U apabila mengumumkan sedia mempertahankan jawatan Presiden Bersatu pada pemilihan parti itu sedangkan PAS mencadangkan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon PM bagi gabungan itu di masa depan.

Menurut sumber itu, Muhyiddin dan Hadi juga tidak dilihat berkongsi pentas yang sama selepas Muktamar PAS, Oktober tahun lalu.

Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz turut menafikan wujud pergaduhan antara Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin. – Gambar Bernama, 1 Februari, 2024

Mengulas lanjut, Syed Muhammad Imran turut menafikan wujud pergaduhan antara Muhyiddin dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

“Ada juga menyatakan hubungan tidak baik Muhyiddin dan Hamzah dalam Bersatu. Namun, tidak langsung ada perbalahan antara mereka.

“(Jadi) Sepatutnya sumber FMT (portal) tidak tepat dan tidak betul. PN adalah parti paling dominan untuk orang Melayu. Cerita di luar sememangnya tidak betul,” katanya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa wujud dua kem dalam Bersatu iaitu satu yang menyokong kepemimpinan Muhyiddin dan satu lagi menyokong Hamzah.

Katanya, Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu pada November tahun lalu memberi ruang kepada parti itu membuat perubahan selepas Muhyiddin mengumumkan untuk tidak mempertahan jawatan, namun tidak berlaku selepas beliau membuat pusingan U.

“Sebahagian besar Ahli Parlimen mahukan Larut (Hamzah) kerana beliau mempunyai potensi sangat besar untuk memimpin parti dengan lebih dinamik dan beliau juga nampaknya bersedia, mampu serta berkebolehan.

“Kami dan sebahagian besar ahli mahu melihat kepemimpinan parti ini diberikan nafas baharu tapi malangnya keputusan pusingan U dibuat presiden, yang disebutnya disebabkan kuasa isteri,” katanya.

Pada masa sama, Syed Muhammad Imran menggesa mana-mana pemimpin politik supaya berhenti berbalah dan fokus membangunkan negara.

“Cukuplah berbalah antara mana-mana pemimpin politik. PN jika ditekan kerajaan, lagi membuatkan parti itu mendapat kepercayaan majoriti dan bukan melayu kerana mereka tahu ini satu dendam kesumat politik,” katanya. – 1 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Rasuah: bekas Hakim Mahkamah Sesyen jalani hukuman penjara 6 bulan, denda RM25,000

Hakim Mohd Nazlan berkata kesalahan rasuah adalah serius yang mengganggu gugat pertumbuhan ekonomi, apatah lagi dilakukan oleh seorang yang menjalankan tanggungjawab kehakiman

Wan Ahmad Dahlan dilantik Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, menggantikan Zulkapli

Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, 58, dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Jabatan Perkhidmatan Awam yang baharu berkuat kuasa esok.

Related