KUALA LUMPUR — Kejadian tanah runtuh kemungkinan disebabkan kebocoran saliran air kolam renang unit rumah atas dilaporkan berlaku di 27, Jalan Taman Pantai, Taman Bukit Pantai, Bangsar, pada jam 10.45 pagi tadi.
Komander Operasi Kanan Bomba Kuala Lumpur, Mustafa Kamal Mohd Arih berkata, kerja-kerja mengosongkan sisa air kolam renang sedang dilakukan oleh bomba bagi mengelakkan tanah menjadi semakin lembab.
Ia sekali gus berpotensi menyebabkan berlakunya pergerakan atau hakisan tanah.

“Pemeriksaan awal, runtuhan berkemungkinan daripada kebocoran saliran air kolam renang unit rumah atas.
“Tiada mangsa yang terperangkap dan struktur rumah terlibat, seterusnya diserahkan kepada unit cerun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis dan kontraktor untuk tindakan selanjutnya,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, dua unit jentera FRT dan satu unit Hilux dengan 17 kekuatan 17 anggota lain-lain pangkat telah digerakkan ke tempat kejadian. – 3 Februari, 2024