KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar pembangkang untuk membongkar sebarang salah laku membabitkan barisan Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, termasuk berkaitan rasuah atau ketirisan sekiranya perkara itu wujud.
Perdana Menteri berkata, beliau memberi jaminan tidak akan sesekali mempertahankan dan melindungi pemimpin kerajaan yang melakukan kesalahan.
Katanya, perkara itu yang sepatutnya dilakukan pembangkang, bukan hanya menuding jari dengan mengatakan tindakan dikenakan kepada pemimpin mereka sebagai kononnya tidak adil.
“Kalau ada silakan, (Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), Tan Sri Azam Baki di sini, menteri-menteri ada di sini, kita semua bersepakat kalau ada di antara rakan kita dalam baris Jemaah Menteri yang terlibat bila ada kes kontrak atau apa, arahan kita adalah tidak akan pertahan, lindungi.
“Tapi sekarang oh tak ada tindakan terhadap menteri (kerajaan) oleh itu tidak adil kerana ambil tindakan kepada parti pembangkang.
“Bongkar, kalau ada bongkar, saya tidak akan pertahankan tetapi jangan guna itu untuk lindungi perasuah, antara perasuah terbesar dalam sejarah negara ini yang menekan kita sampai sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Februari di Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.
Anwar berkata, nilai wang yang diselamatkan daripada aktiviti rasuah dan ketirisan kewangan cukup besar kerana boleh disalurkan untuk meningkatkan pelbagai infrastruktur demi kepentingan rakyat.
“Kalau kita boleh selamatkan RM10 bilion, RM20 bilion ini, saudara bayangkan berapa banyak universiti, berapa sekolah, berapa hospital, berapa elaun untuk penjawat awam kita boleh tingkatkan.
“Tetapi kerana kita tidak ada kekuatan dan tekad politik, kadang-kadang saya masa bicara dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dan Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) saya kata, kadang-kadang dalam tazkirah pun tak keras, dia seolah-olah lembut dalam isu rasuah dan tatakelola ini, ada yang kata kerana hukumnya bukan hudud oleh itu ringan, tidak, kerana ia menyeksa rakyat ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, isu ketirisan di Malaysia belum ‘bersih’ sepenuhnya setakat ini kerana masih ada di peringkat tertentu, seperti di sempadan dan pelabuhan, termasuk di bahagian percukaian yang menyaksikan wujud beberapa kelompok kecil yang meneruskan ‘kerja’ mereka itu.
Tegasnya, kehilangan hasil negara daripada ketirisan minyak mentah dan diesel masih belum terkawal sepenuhnya dan ia sangat merugikan negara serta rakyat.
Justeru, beliau merayu semua pihak, termasuk penjawat awam supaya memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan dalam tempoh setahun atau dua tahun akan datang, masyarakat negara ini mempunyai tekad dan semangat baharu, iaitu ‘semangat zaman’.
Menurutnya, ia bagi terus menyelamatkan Malaysia dari pelbagai salah guna kuasa dan pemunggahan kekayaan, sekali gus mampu meningkatkan semula keyakinan rakyat serta meningkatkan hasil mereka.
Pada masa sama, Anwar berkata, sekiranya terdapat isyarat jelas daripada badan penguatkuasaan untuk bertindak tegas dan keras terhadap pemimpin sekarang atau dulu yang didakwa melakukan ketirisan, penjawat awam bukan sahaja harus bekerjsama, malah perlu berwaspada.
“Jika kita boleh selamatkan RM10 bilion, RM20 bilion, ini bukan untuk perbaiki rumah Perdana Menteri atau elaun dia, apa yang kita dapat pulangan itu adalah kembalikan ia kepada rakyat, noktahkan kemiskinan, beri pendidikan bermutu, selamatkan anak dari semua agama, kaum, wilayah. Jadi tidak tidak lagi kita gaduh soal peruntukan kecil, tidak ada sebab hal ini dibolehkan dan diteruskan, justeru saya harap penekanan ini berikan manfaatnya.
“Kita faham agama kita, tanggungjawab bangsa, budaya semua sekali ia mesti mula dengan tata kelola baik, jadi saya memang tak nafikan hari ini ada pelbagai tekanan dan suara, tetapi rakan-rakan tahu proses mesti dihormati.
“Proses hukum mesti dipertahanakan, kita mesti kembalikan integriti badan kehakiman, integriti badan penguatkuasaan dan umumnya intergriti negara sebagai negara merdeka, berdaulat dan berintegriti,” katanya. – 5 Februari, 2024