Pengurangan hukuman Najib: Anwar minta pengkritik hantar memorandum kepada Al-Sultan Abdullah untuk penjelasan

PM tekankan Agong ke-16 membuat keputusan itu atas sebab tertentu selepas menimbang teliti penjelasan dikemukakan kepada baginda

11:23 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta pihak yang mengkritik keputusan mengenai pengurangan hukuman Datuk Seri Najib Razak supaya menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong Ke-16 bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Perdana Menteri berkata, keputusan itu dibuat Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum tempoh pemerintahannya berakhir pada 29 Januari lalu.

“Saya tahu terdapat banyak komen dan kritikan hebat berhubung pengurangan hukuman bekas Perdana Menteri itu sejak minggu lalu.

“Tetapi orang mesti tahu bahawa bukan hanya saya; keputusan Lembaga Pengampunan membabitkan ramai orang.

“Sebagai Perdana Menteri, saya menyampaikan petisyen rayuan pengampunan itu kepada lembaga pengarah yang dipengerusikan Agong,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi Februari di Puspanitapuri, Putrajaya hari ini.

Menurutnya, Al-Sultan Abdullah membuat keputusan itu atas ihsan dan belas kasihan selepas menimbang teliti penjelasan dikemukakan kepada baginda.

“Keputusan baginda berasaskan kepada belas kasihan, tidak semestinya dikekang sepenuhnya oleh undang-undang, tetapi akhirnya muktamad.

“Sama ada bekas Agong memilih untuk memberikan penjelasan mengenai rasional di sebalik keputusannya adalah mengikut budi bicara baginda sepenuhnya,” kata Anwar.

Jumaat lalu, Lembaga Pengampunan meringankan hukuman penjara Najib kepada enam tahun dan mengurangkan denda perlu dibayarnya kepada RM50 juta daripada RM210 juta seperti diperintahkan mahkamah.

Najib memulakan hukuman penjara 12 tahun pada 23 Ogos 2022, berikutan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan terakhirnya dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Beliau dibicarakan di hadapan hakim Nazlan Ghazali (kini hakim Mahkamah Rayuan) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah membabitkan RM42 juta dana milik SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Pada 28 Julai 2020, beliau disabitkan atas semua pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun bagi setiap pertuduhan yang menyaksikan Nazlan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak.

Anwar berkata, rakyat perlu tahu terdapat proses yang perlu dipatuhi sebelum pengampunan diberikan.

Mengenai pendengaran petisyen rayuan Najib, Anwar berkata, Lembaga Pengampunan mendengar atas dasar apa rayuan itu dibuat.

“Kedudukannya, hidupnya sebelum dan semasa pemenjaraan, tanggungjawab dan sumbangannya kepada rakyat, keluarga dan negara. – 5 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Rumah agam Sharifah Aini dirobohkan, ada persoal mengapa kerajaan tidak jadikan muzium?

Rumah agam milik biduanita negara, Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang selama ini menjadi lambang kemewahan anak seni tempatan yang benar-benar sukses dalam bidang nyanyian sedang dalam proses untuk dirobohkan.

BAM confirms salary increment demands from top players, review process underway

Acting president Datuk V. Subramaniam acknowledges requests for salary increments and emphasises ongoing discussions to assess their feasibility

FashionValet’s RM43.9 mil loss sparks public scrutiny over co-owner Vivy Yusof

Social media users demand explanation from Duck, Lilit founder on how Khazanah, PNB’s RM47 mil investment was managed

Related