Keputusan kes Nik Elin: Tun Faisal persoal mana suara pemimpin Umno

Menurutnya, ketika ini hanya NGO Islam dan parti pembangkang yang lantang bersuara dalam mempertahankan agama Islam

3:45 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Muafakat Nasional (MN) mempersoalkan sikap pemimpin Umno yang diam membisu mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Ahli Dewan Tertingginya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, ketika ini hanya badan bukan kerajaan (NGO) Islam, peguam Islam dan parti pembangkang yang lantang bersuara dalam mempertahankan agama Islam.

“Saya tidak nampak mana-mana tokoh Umno ke depan dalam perkara ini. Maknanya Umno dah terpinggir daripada perjuangan sebenar.

“Sepatutnya mereka kena kembali desak pemimpin, jangan tergelincir daripda perjuangan sebenar dan kembali pertahankan agama Islam, orang Melayu dan rakyat,” katanya kepada Scoop hari ini.

Menurutnya, pemimpin Umno sepatutnya memberi tekanan terhadap perkara itu supaya ia tidak menjadi seperti kes kalimah Allah.

“Saya harap ahli politik Islam, ahli parti yang didominasi Islam dan Melayu, terutamanya ahli Umno, mereka perlu menilai semula kedudukan mereka dalam kerajaan dan sokongan mereka.

“Beri tekanan, tidak mahu jadi seperti kes kalimah Allah. Suara Umno langsung tidak kedengaran, sama seperti hari ini, yang bersuara hanya NGO Islam, peguam Islam dan parti pembangkang yang lebih ke depan,” katanya.

Beliau berkata, hari ini juga merupakan hari menyedihkan bagi umat Islam, tetapi hari menggembirakan dan kemenangan untuk golongan liberal dan sekular.

“Perkara ini berlaku kerana ada kelompongan dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana pada 1951 ketika kes Natrah sudah ada pentafsiran dibuat untuk membolehkan enakmen syariah ini digubal di peringkat negeri.

“Tapi (keputusan hari ini) kita dah kembali ke zaman Natrah itu balik. Kita perlu lihat semula dan meminda perkara yang menjadi kelompongan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita perlu bergantung harap kepada semua Ahli Parlimen yang beragama Islam untuk mengangkat semula perkara ini untuk membawa usul memperkasakan kedudukan undang-undang syariah.

“Hari ini kerajaan ada lebih dua pertiga sokongan, saya percaya undang-undang boleh dipinda dan usul boleh dibawa oleh kerajaan sendiri sebagai usul kerajaan” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini membatalkan 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dikemukakan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anak perempuannya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Man, yang mengetuai panel sembilan panel, menyampaikan keputusan majoriti Hakim 8-1 hari ini, di mana mereka mengekalkan Seksyen 13 (menjual atau memberikan anak kepada bukan Islam atau orang Islam yang rosak akhlaknya).

Oleh itu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan bahawa 16 peruntukan termasuk Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 dan 17 (hubungan seksual dengan mayat dan bukan manusia) serta Seksyen 42 (penyalahgunaan label dan konotasi halal) adalah terbatal. – 9 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

[UPDATED] Moral responsibility: ministers with multiple pensions should choose only one, says Anwar

Government politicians receiving multiple pensions have a moral responsibility to only opt for one pension scheme, said Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Related