Saya doa hidup suspek tak tenteram sehingga dia serah diri kepada polis: Ibu Zayn Rayyan

Ketiadaan Zayn Rayyan beri impak sangat besar buat kehidupan Ismanira dan suaminya

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Walaupun sudah lebih dua bulan berlalu, namun Ismanira Abdul Manaf, 29, tidak berputus harap dan berdoa agar individu yang membunuh anaknya, Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, dapat segera ditangkap.

Malah Ismanira berdoa agar suspek tidak akan hidup tenteram dan tenang selagi tidak menyerah diri kepada pihak berkuasa.

“Saya berharap agar pelaku tersebut dapat ditangkap dan dikenakan hukuman yang berat.

“Saya juga menyeru orang ramai untuk bersama-sama membantu mendoakan agar pelaku ini dapat ditangkap, biar dia kepanasan, gelisah, tidak tenteram dan berserah diri kepada pihak polis,” katanya kepada Scoop.

Ismanira berkata, dia dan suami, Zaim Ikhwan sentiasa memberikan kerjasama serta percaya dengan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memburu dalang yang menyebabkan kematian anak sulungnya itu.

Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan sentiasa percaya dengan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memburu dalang yang menyebabkan kematian anak sulungnya – Riduan Ahmad/Scoop, 12 Februari, 2024

“Pihak polis memang akan sentiasa maklumkan tentang perkembangan kes ini kepada kami. Kami serahkan semuanya kepada pihak polis malah kami yakin dengan kepakaran pihak polis.

“Setakat ini, sudah banyak kali kami dipanggil pihak polis untuk bantu siasatan, tidak pasti berapa kali, tidak terkira dalam situasi begini,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai momen yang dirinduinya sejak pemergian Zayn Rayyan, Ismanira berkata, dia rindu untuk menyediakan juadah buat anak kesayangannya itu yang sentiasa menceriakan suasana dengan keletah lucunya.

Rutin hariannya itu kini seakan-akan kosong sejak pemergian anaknya pada 6 Disember lalu.

“Ketiadaan Zayn memang memberi impak yang sangat besar dalam hidup kami. Selalunya rumah kami akan riuh rendah dengan keletah dan gelak tawa Zayn bermain bersama adiknya Mateen, namun kini kami merasakan seperti ada bahagian yang kosong dalam hidup kami, umpama tidak lengkap.

“Semua tentang Zayn saya sangat rindu, namun apa yang buat saya paling rindu dan terkesan dengan ketiadaan Zayn ialah dia seorang yang suka makan jadi setiap kali tiba waktu makan dialah orang yang paling teruja sekali, jadi detik-detik itu buat saya rindu yang teramat.

“Sehingga kini, saya masih terbayangkan Zayn sedang duduk di meja makan dan menikmati juadah yang saya sediakan padanya,” katanya.

Menurut Ismanira, anak bongsunya, Mateen yang masih terlalu kecil untuk mengenal erti sebuah kehilangan, sehingga kini masih tercari-cari kelibat abangnya di dalam rumah.

“Mateen memang sentiasa mencari-cari Zayn, dia sering memanggil-manggil nama Zayn di rumah. Mateen tidak faham yang abangnya sudah tiada dan dia tidak pandai bertanya lagi mana abang.

“Namun, dapat dilihat jelas dari raut wajahnya, dia sering tertanya-tanya mana perginya abang.

“Kadang-kadang ada saya ternampak Mateen termenung dan duduk senyap sahaja di satu sudut, mungkin kesunyian tanpa abang,” katanya.

Pada 8 Januari lalu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan pihaknya tidak pernah menghentikan siasatan ke atas kes pembunuhan Zayn Rayyan.

Terdahulu, media melaporkan polis meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu siasatan kes Zayn Rayyan yang dipercayai dibunuh selepas ditemukan dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor.

Susulan bantuan daripada Interpol, PDRM meletakkan fokus mengesan ‘prime crime scene’ atau tempat kejadian jenayah pertama di mana lokasi sebenar Zayn Rayyan dibunuh.

Zayn Rayyan dipercayai dibunuh selepas ditemukan dalam keadaan terbaring di anak sungai berhampiran Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai, Selangor – Azim Rahman/Scoop, 12 Februari, 2024

Namun sehingga kini, masih tiada sebarang petunjuk baru dalam kes berkenaan yang membawa kepada perkembangan positif pemburuan suspek.

Sepanjang kes ini dijalankan, PDRM telah merakam keterangan 225 individu, selain mengumpul 248 sampel asid deoksiribonukleik (DNA) individu namun tiada keputusan positif direkodkan.

Pada 6 Disember lalu, Zayn Rayyan, 6, yang dilapor hilang ditemukan meninggal dunia di kawasan sungai berhampiran kediamannya pada pukul 10 malam.

Susulan itu, hasil penemuan bedah siasat, pihak polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 (bunuh) selepas menemukan kesan kecederaan mempertahankan diri pada bahagian leher dan badan mangsa. – 12 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Related