Peguam nasihat Dr Mahathir tidak sertai RCI Batu Puteh jika diketuai Raus

Peguam bekas Perdana Menteri itu berkata, Raus yang juga bekas Ketua Hakim Negara mempunyai konflik kepentingan kerana pernah terlibat dengan Dr Mahathir

10:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad telah dinasihatkan oleh peguamnya untuk tidak terlibat dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkenaan isu Batu Puteh, jika ia diterajui Tun Md Raus Sharif.

Peguam bekas Perdana Menteri itu, Rafique Rashid berkata, ini kerana Raus, yang juga bekas Ketua Hakim Negara, mempunyai konflik kepentingan kerana pernah terlibat dengan Dr Mahathir.

Antaranya ialah semakan kehakiman oleh Dr Mahathir pada 2017 yang mencabar pelantikan Raus sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan kerana usianya. Dr Mahathir juga pernah menjadi Perdana Menteri apabila Raus meletak jawatan sebagai Ketua Hakim Negara pada 2018.

Dan pentadbiran Dr Mahathir yang memutuskan untuk menarik balik permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menganugerahkan Batu Puteh kepada Singapura, kata Rafique.

Memandangkan RCI mengenai Batu Puteh adalah berkaitan dengan keputusan Kerajaan Persekutuan ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri, justeru pelantikan Raus sebagai pengerusi RCI Batu Puteh telah mewujudkan satu bahaya bias yang sebenar yang akan mencemarkan keseluruhan prosiding RCI terbabit serta akan menjejaskan kewibawaan dapatannya.

Tun Md Raus Sharif mengetuai Suruhanjaya Siasatan Diraja tentang pengendalian Malaysia terhadap isu Pulau Batu Puteh. – Gambar Bernama, 16 Februari 2024

“Atas dasar keadilan untuk anak guam kami, kami dengan rendah diri meminta kerajaan menggantikan pengerusi RCI dengan seseorang yang tidak mempunyai konflik, atau Tun Md Raus Sharif, dalam mencari kebenaran…(menarik diri) dari pelantikan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jika tidak berbuat demikian, Rafique berkata, pihaknya menasihatkan Dr Mahathir untuk tidak menyertai RCI.

“RCI sewajarnya dilihat bersih dan tidak memihak agar orang awam tidak akan mempersoalkan kewibawaan dapatan RCI terbabit,’’ katanya.

Pada 14 Februari lalu, Md Raus telah dilantik sebagai pengerusi Untuk Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan Kes Kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, pelantikan dibuat selepas penubuhan RCI yang turut dianggotai enam pesuruhjaya lain mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Pada 23 Mei 2008, ICJ membuat keputusan untuk menyerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh atau Pedra Branca kepada Singapura. – Gambar media sosial, 16 Februari, 2024

Pada 23 Mei 2008, ICJ membuat keputusan untuk menyerahkan kedaulatan ke atas Batu Puteh atau Pedra Branca kepada Singapura, sementara Batuan Tengah atau Middle Rocks, batuan yang terletak kira-kira satu kilometer dari Batu Puteh menjadi milik Malaysia.

ICJ bagaimanapun tidak membuat keputusan mengenai kedaulatan ke atas Tubir Selatan (South Ledge). Mahkamah itu memutuskan Tubir Selatan menjadi milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pada 2 Februari 2017, kerajaan Malaysia telah memfailkan permohonan bagi semakan terhadap keputusan ICJ pada 2008 itu.

Bagaimanapun pada Mei 2018, kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Dr Mahathir menarik balik permohonan semakan itu, dua minggu sebelum kes dijadualkan didengar pada 11 Jun 2018 di ICJ. – 16 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related