KUALA LUMPUR – Tiada sebarang tindakan boleh dikenakan terhadap enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri meskipun perlembagaan parti itu akan dipinda pada Perhimpunan Agung Khas, awal bulan depan.
Penganalisis politik, Profesor Madya Mazlan Ali berkata, ini kerana tidak ada ruang undang-undang untuk parti mengambil tindakan terhadap mereka kerana sokongan itu diberikan sebelum sebarang pindaan perlembagaan parti dilakukan.
“Dari segi peruntukan undang-undang, Bersatu dah terlepas (peluang itu) maksudnya pindaan perlembagaan itu tidak akan beri kesan kepada enam MP (Ahli Parlimen) ini.
“Mereka ini dah selamat sehingga habis penggal kerajaan, sebab tidak ada ruang undang-undang untuk parti ambil tindakan terhadap mereka kerana sokongan diberikan sebelum apa-apa pindaaan perlembagaan parti dilakukan.

“Selepas pindaan mereka dah tidak tertakluk dari sudut itu. Namun pindaan ini akan beri kesan kepada Ahli Parlimen lain yang mungkin beralih sokongan selepas pindaan perlembagaan itu dilakukan,” katanya kepada Scoop hari ini.
Semalam Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, enam Ahli Parlimen yang berpaling tadah dengan mengisytiharkan sokongan terbuka kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bersedia berhadapan tindakan menjelang pindaan perlembagaan parti pada Perhimpunan Agung Khas, 2 Mac ini.
Nada sama disuarakan, Ketua Penerangannya, Datuk Razali Idris yang menjelaskan pindaan perlembagaan parti itu nanti akan terpakai kepada enam Ahli Parlimen itu kerana mereka mendakwa masih ahli Bersatu.
Katanya, tiada agenda lain akan dibentangkan pada Perhimpunan Agung Khas Bersatu, melainkan hanya meminda Fasal 10 perlembagaan parti iaitu terhentinya keahlian apabila tidak lagi menyokong perjuangan parti.
Mengulas lanjut, Razali berkata, pindaan Fasal 10 perlembagaan parti itu dibuat berikutan fenomena setia pada parti, tetapi pada masa sama menyokong parti lawan seperti dilakukan enam Ahli Parlimen berkenaan.
Katanya, pindaan Fasal 10 itu hanya terpakai kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berpaling tadah menyokong parti lawan.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, Bersatu sepatutnya perlu bertindak cepat dalam meminda perlembagaan mereka selepas dikhabarkan akan lebih ramai lagi Ahli Parlimen mereka akan memberi sokongan kepada Perdana Menteri.
Katanya, situasi itu juga menyebabkan parti Bersatu dilihat semakin goyah dengan tindakan untuk memecat enam Ahli Parlimen terbabit akan menyebabkan parti itu kehilangan kerusi.
“Situasi hari ini kedudukan Bersatu agak goyah, kemungkinan (sebelum pinda itu) mungkin akan ada lagi yang akan tukar sokongan sebab bimbang peluang mereka untuk dapat peruntukan, bantu rakyat di kawasan akan tertutup.
“Malah menerusi titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim baru-baru ini juga dapat disimpulkan supaya peluang diberikan kepada Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara. Yang kita faham dari hasrat Tuanku itu, bahawa kerajaan ini akan kekal sampai habis penggal, sampai 2027.
“Jadi usaha-usaha (pembangkang) sebelum ini kononnya nak jatuhkan kerajaan seperti Langkah Dubai itu menjadi tidak relevan lagi kerana Tuanku ini tegas. Kita nampak ruang nak jatuhkan kerajaan itu dah tidak ada, tertutup rapat, tunggulah PRU akan datang. Tapi sanggupkah Ahli Parlimen pembangkang ini tunggu empat tahun lagi?” soalnya.
Sementara itu, Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan turut berkongsi pandangan sama bahawa pindaan perlembagaan parti itu tidak terpakai kepada enam ahli Parlimen terbabit.

“Kerana sebagai wakil rakyat mahupun rakyat biasa, mereka berhak berpolitik dan nyatakan sokongan kepada siapa yang mereka fikir akan sokong. Parti tidak boleh menghalang kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan parti.
“Seperti Umno, ahli yang bertanding (menjadi calon) dikehendaki tandatangani surat perjanjian iaitu menyokong setiap keputusan presiden, tapi Bersatu tidak ada dalam hal ini,” katanya.
Beliau berkata, untuk melihat enam Ahli Parlimen terbabit meletak jawatan, itu tidak mungkin akan berlaku kerana secara automatik mereka akan hilang kerusi yang disandang.
“Jadi parti tidak boleh membuat apa-apa dalam hal ini, cuma apabila pindaan itu dibuat, ia boleh menyekat ahli lain. Ini supaya ahli parti mengikut kehendak parti dan bukan kehendak sendiri,” katanya.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu sudah menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – 19 Februari, 2024