Prestasi ringgit tidak cerminkan propek positif ekonomi Malaysia: Gabenor BNM

Momentum pelaburan juga meningkat berikutan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan dalam sektor swasta dan awam

6:16 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Prestasi semasa ringgit sejak kebelakangan ini tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia pada masa akan datang.

Perkara itu ditegaskan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour dalam kenyataan media hari ini berhubung kedudukan nilai mata wang ringgit.

Menurut beliau, pertumbuhan pada tahun ini akan didorong oleh permintaan luaran yang bertambah baik dan perbelanjaan dalam negeri yang kukuh.

“Unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menunjukkan bahawa perdagangan global akan meningkat daripada 0.4 peratus pada 2023 kepada 3.3 peratus tahun ini. Bagi Malaysia, eksport telah mencatatkan penambahbaikan yang stabil sejak suku keempat tahun 2023.

“Malah, eksport bulan lalu yang diumumkan baru-baru ini juga positif (+8.7%). Sektor pelancongan telah pulih dengan kukuh dan ketibaan pelancong pada tahun ini dijangka mengatasi paras sebelum pandemik iaitu 26 juta,” katanya.

Abdul Rasheed berkata, momentum pelaburan juga meningkat berikutan pelaksanaan projek-projek yang telah diluluskan dalam sektor swasta dan awam.

“Susulan perkembangan-perkembangan positif ini bersama-sama dengan komitmen kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan struktur dan jangkaan bahawa kadar faedah akan diturunkan di negara-negara maju, kebanyakan penganalisis membuat jangkaan bahawa ringgit akan menambah nilai pada tahun ini,” katanya.

Tambah beliau, prestasi ringgit baru-baru ini telah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran, sama seperti mata wang serantau lain.

Antara faktor tersebut katanya, termasuk pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) yang berubah-ubah, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.

Prestasi semasa ringgit berbanding mata wang lain menjadi perdebatan hangat pelbagai pihak termasuk orang awam yang bimbang dengan perkara itu.

Nilai ringgit mencatat penurunan ketara hari ini apabila mencecah paras 4.795 berbanding dolar AS.

Pada sekitar jam 5 petang ini, ringgit berada di paras 4.795 susut 0.41 peratus berbanding penutup semalam.

Mata wang negara mencapai paras terendah dalam sejarah iaitu 4.88 pada Januari 1998 iaitu ketika kemuncak Krisis Kewangan Asia.

Paras terbaharu hari ini juga mengatasi paras terendah harian yang dicatat pada 23 Oktober 2023 lalu iaitu 4.7925. – 20 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

NCPR route: Activists slam Penang’s RM2.4bil ‘car-centric’ solution for endangering environment, wildlife

Environmentalists and transport advocates warn of irreversible damage as state pushes ahead with controversial Tanjung Bungah-Teluk Bahang road

Putra Heights gas explosion: MBSJ’s ROW incursion approval needs scrutiny, says planning law expert 

Just because approval is given does not make it right, reminds Derek Fernandez  

Don’t blame students for govt’s failure, Shafie tells GRS amid UMS water protest

Warisan president criticises state govt for scapegoating UMS students protesting ongoing water supply issues in Sabah, calling for accountability rather than blame

Related