Wajar lanjut masa Mokhzani isytihar aset kerana harta terlibat banyak: Azam Baki

Mokhzani dan abangnya, Mirzan juga memberi kerjasama yang baik dengan SPRM sepanjang siasatannya

2:19 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Adalah wajar memberi ahli perniagaan, Tan Sri Mokhzani Mahathir lanjutan masa untuk mengisytiharkan asetnya kerana harta yang terlibat banyak, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki mengulangi Mokhzani yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta lanjutan masa untuk mengisytiharkan hartanya.

“(Dan) kita memberi memberi tambahan masa 30 hari lagi. Saya kira ia wajar diberikan kerana pegawai penyiasat memberitahu saya, harta yang terlibat itu banyak.

“Jadi, beliau memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan dokumen dan juga akaun berkaitan (mengenai asetnya),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Tambahnya, Mokhzani dan abangnya, Mirzan, memberi kerjasama yang baik dengan SPRM sepanjang siasatannya.

Pada 26 Januari lalu, Mokhzani menerima notis daripada badan anti rasuah yang mengarahkannya untuk mengisytiharkan hartanya di bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009, berikutan penglibatannya dalam siasatan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Azam, pada 6 Februari mengesahkan Mokhzani mahupun Mirzan tidak menyerahkan notis pengisytiharan aset mereka kepada agensi itu.

Sebelum ini, SPRM berkata, Mirzan yang juga anak sulung Dr Mahathir menerima notis pada 17 Januari untuk mengisytiharkan semua asetnya sama ada di dalam mahupun luar negara dalam tempoh 30 hari.

Selain maklumat mengenai lelaki berusia 65 tahun itu dalam laporan Kertas Panama, SPRM juga sedang menyiasat aktiviti perniagaannya yang melibatkan penjualan dan pemerolehan syarikat berkaitan kerajaan.

Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, Azam mengesahkan SPRM memberi tempoh lanjutan 30 hari kepada Mirzan untuk mengisytiharkan hartanya.

Sementara itu, Scoop melaporkan bahawa Mokhzani menerima perintah notis pada 26 Januari untuk mengisytiharkan hartanya, sama ada di dalam dan luar negara.

Difahamkan, Mokhzani sedang disiasat berhubung pegangan sahamnya dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Syarikat tersebut dikatakan turut memenangi lesen fabrikasi struktur cari gali sebuah syarikat gergasi petroleum negara ketika bapanya menjadi Perdana Menteri. – 22 Februari 2024

Topics

 

Hangat

Sarjit admits tough Australia tour key to Speedy Tigers’ growth

National coach prioritises player development over results in challenging six-match series

Kelantan, Terengganu PKR heads defend division chief posts

Datuk Seri Mohd Suparadi Mohd Noor retains position in Tanah Merah while Ahmad Nazri Mohd Yusof retains Kemaman

Budget 2025: KBS urged to collaborate with KPKT for grassroots talent development

National junior hockey coach calls for increased funding and joint efforts between Youth and Sports Ministry and Housing and Local Government Ministry to utilise underused facilities and nurture future athletes for the 2027 SEA Games

Related