KUALA LUMPUR – Seseorang Menteri tidak boleh bertindak semberono, rakus dan sombong walaupun memiliki kuasa dan dianggap orang nombor satu di kementerian diterajuinya.
Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, malah amat penting untuk menteri menghormati pegawai, terutama mereka yang sudah lama berkhidmat dan berpengalaman.
Katanya, meskipun memegang jawatan sebagai menteri, ia bukan bermakna individu terbabit mengetahui semua perkara atau ‘lebih pandai’ dari pegawai.
“Agak hangat di media sosial dan di mana-mana jua, isu Ketua Pengarah Tourism Malaysia (Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia) ‘dipecat’ katanya atas arahan menteri.
“Entah benar entah tidak itulah yang tersebar luas sekarang. Seseorang menteri walaupun berkuasa perlu bijaksana dalam menjalankan tugasnya.
“Menteri umpama seorang bapa di kementeriannya, perlu sentiasa prihatin, cakna, sedia mendengar dan memandu arah dengan kerjasama penuh pegawai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook bagi mengulas isu penamatkan perkhidmatan Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM), Datuk Ammar Abd Ghapar.
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS itu berkata, menteri yang baik adalah seseorang yang dapat memenangi hati pegawai serta menjadikan mereka hormat dan bermotivasi untuk berkhidmat bersama-sama.
Menurutnya, orang politik walau berkuasa, tetap memerlukan nasihat dan pandangan daripada pegawai awam
Justeru, Annuar yang juga bekas Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi berkata, menteri dan pegawai perlu berharmoni, malah sikap saling menghormati antara penjawat awam dan pemimpin politik amatlah penting
“Usah sombong walau berkuasa kerana kuasa itu sementara saja. Kita tidak dikenang kerana kuasa kita, tetapi kita akan dikenang kerana kebijaksanaan dan prestasi serta integriti kita dalam perkhidmatan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mengenai penularan surat penamatan Ammar yang berkuat kuasa Isnin ini.
Dokumen bertarikh Khamis lalu itu mempunyai tandatangan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Ia sekali gus mencetuskan isu dalam kalangan pihak tertentu, dengan segelintirnya, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) pekerjaan menempelak tindakan itu kerana notis kepada Ammar didakwa diberikan dalam tempoh singkat.
Surat itu memperincikan penamatan perkhidmatan Ammar adalah di bawah Subseksyen 10 (1) Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia 1992 (Akta 481), dibaca bersama Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).
Menerusi maklumat dilaporkan portal berita yang memetik sumber, difahamkan King Sing memecat Ammar kerana tidak berpuas hati dengan keengganan pegawai itu mengikut arahan.
Bagaimanapun, menerusi penjelasannya semalam, King Sing dilapor menafikan beliau memecat Ammar, sebaliknya menegaskan pegawai itu diturunkan pangkat kepada Timbalan Ketua Pengarah, susulan kemerosotan prestasi. – 25 Februari, 2024